Pertemuan secara tidak sengaja dengan pihak pengurusan Lol Enterteiment di Bali, Indonesia beberapa bulan lalu nampaknya bakal memberikan impak tersendiri buat Gusti Arya, 21.
Anak jadi dari pulau Bali itu bakal tampil dengan single pertamanya berjudul Semakin Jauh yang merupakan lagu sulung dan duet pertamanya bersama pelakon cantik tanah air, Sherry Ibrahim tidak lama lagi. Bercakap kepada portal murai.com.my ketika ditemui baru-baru ini, Gusti Arya berkata sudah memang menjadi cita-citanya untuk merakamkan lagunya sendiri terutama sekali apabila diberi peluang menembusi pasaran Malaysia.
"Memang ramai penyanyi Indonesia yang berjaya menembusi pasaran Malaysia. Tetapi apa yang membezakan saya dengan mereka kerana kebanyakan mereka sudah lama bergelar penyanyi terlebih dahulu, tetapi tidak pula saya. "Saya tidak pernah merakamkan sebarang album, sebaliknya sering bermain muzik, menyanyi, menjadi deejay dan rapping dengan abang saya, Bayu di Bali, Jakarta dan beberapa tempat lagi. Semuanya mengikut kepada undangan yang kami terima.
"Kebetulan pula abang saya aktif bermain muzik dan mencipta lagu, jadi apabila dipelawa oleh pihak LOL Entertaiment untuk merakamlan lagu dengan Sherry Ibrahim, saya tidak menolaknya dan abang saya telah melahirkan sebuah lagu untuk kami berdua," katanya. Proses rakaman lagu , Semakin Jauh telahpun diadakan di ibu negara baru-baru ini, di mana melodi lagu berkenaan adalah ciptaan abang Gusti Arya iaitu Bayu dan lirik telah ditulis sendiri oleh penyany muda berkenan.
Membawa segunung harapan agar lagu duet berkenaan akan diterima baik, Gusti Arya berkata lagu berkenaan menceritakan pengalamannya yang pernah dikecewakan dan ketika itulah dia mula hadir dengan lirik cukup menyentuh hati itu. Jelasnya, dia sama sekali tidak menjangka apabila digandingkan dengan Sherry Ibrahim yang sememangnya memiliki bilangan peminat yang sangat ramai hasil daripada populariti kerjaya lakonannya di negara ini.
Katanya, selain raut wajah Sherry yang cantik dan manis, Gusti Arya berkata pelakon wanita berkenaan juga memiliki kualiti suara yang unik dan cukup sesuai untuk digandingkan bersama dalam lagu berkenaan. "Pastinya sebelum saya datang merakamkan lagu ini, saya telahpun membuat serba sedikit kerja rumah tentang siapakah Sherry. Ternyata dia sangat popular di sini dan dia juga memang meminati bidang nyanyian sejak sekian lama.
"Jadi lagu Semakin Jauh ini dibuat memang sesuai untuk kami berdua. Apatah lagi saya mahu menceritakan kepada pendengar tentang betapa hancurnya hati saya yang telah dikecewakan oleh seorang wanita tahun lalu. "Semuanya masih segar difikiran saya, apabila wanita yang saya cintai telah menduakan saya dan pergi ke lelaki lain. Jadi apabila saya ingin melahirkan lagu ini, saya mengimbau kembali saat kekecewaan itu walaupun cukup pedih untuk diingati," katanya.
Meskipun bakal sibuk dengan proses mempromosikan lagunya itu di negara ini, Gusti Arya bagaimanapun masih aktif membuat persembahan dengan abangnya di serata Indonesia dan juga Singapura. Kepada sesiapa yang ingin mengenali dengan lebih dekat tentang Gusti Arya, bolehlah mengikuti laman sosial Instagram miliknya (@gustarya) dan Facebook (Gusti Arya).
0 ulasan:
Catat Ulasan