1 Oktober 2013

Posted by jinson on 1.10.13 No comments
Tabung haji
MAKKAH: Tabung Haji (TH) memantau perkhidmatan pakej haji oleh syarikat swasta bagi memastikan jemaah haji yang memilih pakej itu tidak terpedaya.
 Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH Mat Admara Alang Azizdin berkata pihaknya membuat pemantauan berkala dengan menemu bual jemaah bagi mendapat maklum balas perkhidmatan yang diberikan. "Kami akan membuat pemeriksaan sama ada syarikat swasta itu memenuhi janji seperti yang diiklan dan jemaah juga diminta membuat aduan segera jika mereka tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan syarikat itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 Beliau berkata TH tidak akan melayan aduan jika jemaah mengadu kelemahan syarikat setelah mereka pulang ke tanah air kerana aduan itu perlu dibuktikan benar dan TH perlu mengambil tindakan segera. Beliau berkata bagi musim haji ini sebanyak 2,177 jemaah Malaysia memilih untuk menunaikan haji menerusi perkhidmatan pakej swasta. Mat Admara berkata jumlah jemaah itu berkurangan berbanding 4,800 jemaah pada tahun lepas dan ia disebabkan pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi.
 Beliau berkata TH telah meluluskan permit kepada 18 syarikat swasta untuk membawa jemaah haji pada musim ini berbanding 25 syarikat tahun lepas. "Terdapat syarikat yang tidak dibenarkan membawa jemaah haji apabila jumlah pelanggannya kurang dari 50 orang dan terdapat juga syarikat yang tidak lagi diberi permit kerana gagal memenuhi janji kepada pelanggan," katanya.
 Harga pakej yang dibenarkan ialah antara RM20,000 hingga RM140,000 untuk seorang jemaah dan jarak jauh antara Masjidil Haram ke hotel penginapan mestilah antara 400 hingga 600 meter. Beliau berkata bagaimanapun jarak hotel bagi musim ini dibenarkan sehingga 1km ekoran kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram yang sedang dijalankan. Mat Admara berkata TH memberi permit kepada syarikat-syarikat swasta untuk membawa jemaah haji sebagai memberi pilihan kepada jemaah yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan muassasah.
 "Ada jemaah yang mahu tinggal dua orang sebilik dan jarak yang dekat dengan masjid, disebabkan itu kami membuka peluang kepada syarikat swasta untuk menawarkan pakej seumpama itu," katanya. Antara aduan yang sering diterima oleh TH ialah makanan yang disedia tidak memuaskan, jumlah penghuni bilik lebih daripada yang dijanjikan, jarak hotel jauh dari masjid seperti yang diiklankan dan syarikat mengenakan caj tambahan apabila berada di tanah suci.
 Beliau berkata TH akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan permit mana-mana syarikat yang tidak menunaikan janji mereka kepada pelanggan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog