Kalau sudah namanya selebriti, setiap gerak gerinya malah hal yang berkaitan dengan diri seseorang figura itu pasti akan menjadi tumpuan umum. Namun bagi pelakon Bront Palarae, cukuplah sekadar dia berkongsi hal kerjayanya saja pada umum tetapi tidak tentang kisah peribadi.
Kerana itu teraju utama filem Psiko Pencuri Hati ini sedaya upaya 'menyimpan' hal perkahwinannya namun tidak menyangka ia mencetus 'isu panas'. Bertemu aktor tinggi lampai ini semalam, kata Bront tiada niat mahu merahsiakan tentang hari bahagianya itu.
Namun demi berlaku adil kepada orang sekelilingnya, dia terpaksa berdiam daripada mengkhabarkan kepada semua kenalan, para peminat juga pihak media. "Saya tak rahsiakan. Tapi saya nak jaga hati banyak pihak. Saya ada ramai kawan, jadi kalau katakan saya jemput beberapa orang saja, nanti yang lain kecil hati pula.
Begitu juga lah dengan pihak media. Rasa tak adil pula nanti. Saya tak nafikan ada juga dikalangan kawan-kawan saya yang kecil hati tapi ada yang dari awal agi dah tahu yang saya nak kahwin. "Saya bukan tak mengaku (kahwin). Tapi bila ada yang bertanyakan pada saya, 31hb lalu buat apa? Saya kata, saya sibuk promosikan filem Psiko Pencuri Hati.
Takkan lah ketika itu saya nak cakap saya bernikah pula, kan...? Lagipun saya hanya berkongsi tentang kerjaya dengan peminat, saya tak kongsi hal peribadi", jelas Bront ketika ditemui pada sidang media supertelemovie terbaru lakonannya, New York Cinta, di TGV Sunway Pyramid.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada seorang wanita yang merupakan kenalan lamanya pda 31 Ogos lalu, dalam satu majlis tertutup di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Hal perkahwinannya mencetuskan kontroversi apabila menerusi sebuah portal hiburan, Bront seolah-olah tidak mengaku yang dia sudah bernikah. Namun apabila pihak media lain bertanyakan hal itu, Bront mengesahkan pula yang dia sudah bergelar suami orang.
Tak Mungkin di Kuala Lumpur Tambah Bront, dia sebenarnya merancang akan mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur dan mahu menjemput kenalan-kenalannya. Namun kejutan yang ingin dibuat tidak menjadi apabila hal pernikahannya lebih dulu tersebar di internet. "Memang saya merancang nak adakan resepsi dan jemput kawan-kawan
. Tapi sedang saya merancang, tiba-tiba tersebar pula cerita yang saya sudah bernikah. Selepas apa (isu) yang dah berlaku ni, saya tak mungkin akan buat resepsi di Kuala Lumpur. Saya hanya akan buat majlis resepsi di Hatyai sekitar hujung tahun ini ", katanya. Dalam pada itu Bront menafikan desas-desus dia kononnya terpaksa menyembunyikan hal perkahwinannya itu kerana dia sebenarnya sebelum ini pernah berkahwin.
"
Sebelum ni saya hanya pernah kahwin dalam filem. Kalau ada yang cakap saya pernah kahwin sebelum ni, boleh lah semak di pejabat agama. Tapi yang ini adalah kali pertama saya bernikah. "Isteri saya orang biasa saja. Dia bekerja dalam bidang periklanan.
Saya kenal dia sejak zaman sekolah lagi. Dia berasal dari Kuala Lumpur. Itu saja yang saya boleh beritahu", katanya yang enggan mendedahkan lebih lanjut identiti isterinya itu. Ditanya mengenai perancangan bulan madu dan cahaya mata, Bront memberitahu setakat ini dia dan isterinya tidak merancang untuk berbulan madu kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
Namun Bront tetap mengharapkan agar dia dikurniakan cahaya mata secepat mungkin. "Doa-doakan lah kami cepat dapat cahaya mata. Setakat ni tak terfikir lagi nak berbulan madu. Lagipun kami berdua sibuk dengan kerja", katanya.