Struktur atap bahagian ruang tamu runtuh akibat angin kuat dengan hujan lebat dalam kejadian tersebut.
MARAN: Satu kejadian ribut berlaku di Taman Sri Keramat, di sini semalam kira-kira jam 6 petang menyebabkan atap ruang tamu rumah mangsa runtuh sepenuhnya namun tiada mangsa tercedera.
Mangsa, Salmah Ali, 52, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak lebih 25 tahun dia tinggal di situ namun bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang tercedera.
Menurutnya, hujan lebat dengan petir menyebabkan suasana sekeliling berbeza dan segera keluar bilik bagi mendapatkan anak dan cucu di dapur. “Makcik betul-betul terkejut apabila mendapati atap rumah runtuh dan lantai rumah dipenuhi air hujan.
Tapi, makcik bersyukur kerana keluarga makcik terselamat,” katanya. Sementara itu, saksi kejadian, Firdaus Abdul Rahman, 29, berkata, ketika kejadian, dia sedang mencuci akuarium di pili air bersebelahan dengan rumah mangsa dan sejurus itu terlihat angin kuat bergerak disusuli hujan lebat.
“Bunyi atap kena pukul angin itu memang menakutkan malah ambil masa kira-kira tiga minit untuk merosakkan keseluruhan atap,” katanya. “Saya segera berlari menyorok di tepi kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Anggaran kerugian masih belum dikenal pasti. Difahamkan, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Adun Luit, Nur Hidayah Mohamad Shahaimi turun padang melawat mangsa pada malam kejadian.
0 ulasan:
Catat Ulasan