20 Jun 2013

Posted by jinson on 20.6.13 No comments


Kota Kinabalu: Seorang pelancong Hong Kong maut, dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka dirempuh kereta api di persimpangan Jalan Lintas, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam. Dalam kemalangan jam 5.30 petang itu, Hyundai Accent dinaiki keluarga berkenaan berpusing selepas dirempuh sebelum melanggar PERODUA Myvi dinaiki tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia setahun. Mangsa yang cedera ialah pemandu Hyundai Accent, Lok Wing Tak Eddie, 50, dan isterinya berusia 30-an serta ibu mentuanya. Bagaimanapun, kedua-dua wanita itu belum dikenal pasti. Seorang lagi penumpang kereta berkenaan, iaitu bapa mentua Eddie, tidak cedera. Semua warga Hong Kong itu dalam perjalanan ke KKIA dengan menaiki kereta sewa untuk pulang ke negara mereka dengan penerbangan jam 8 malam tadi. Penumpang Myvi serta kira-kira 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari stesen Tanjung Aru ke Beaufort juga dilaporkan tidak cedera. Besi penghadang tak berfungsi Difahamkan, ketika kejadian besi penghadang untuk menutup laluan kereta api tidak berfungsi, tetapi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menempatkan pengawal landasan untuk memastikan semua kenderaan berhenti setiap kali kereta api melalui kawasan itu. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut. “Kami masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Kanun Keseksaan, Akta Kereta Api Sabah dan Akta Pengangkutan Jalan,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang meninjau lokasi kejadian, berkata kakitangan JKNS sudah mengambil tindakan sepatutnya dengan menahan kenderaan mangsa supaya berhenti. “Tetapi mereka teruskan juga perjalanan. Kita akan mengambil tindakan segera dengan menggantikan besi penghalang yang tidak berfungsi secepat mungkin,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog