KUALA LUMPUR, 20 JUN 2013: Bukan sahaja sudah mengetahui mengenai hubungan cinta anak terunanya, Mohd Shamiel Equan dengan pelakon Sharifah Sakinah, malah pengarah terkenal, Bade Hj Azmi juga akui senang serta merestui hubungan mereka. "Ya, saya tahu mengenai hubungan cinta Shamiel dengan Sakinah. Mereka pun baru sahaja bercinta. Sakinah ada berlakon dalam drama saya, Planet Kiara dan saya rasa sejak itulah agaknya mereka bercinta. "Erma pernah cakap, Shamiel yang lebih mesra digelar Albab ni kalau bercinta, memang lupa daratan. Saya rasa, apa yang Erma cakap tu betul. Saya tengok Sakinah lebih matang daripada Albab," kata Bade Hj. Azmi kepada murai.com.my Bade yang ditemui di set lokasi filem Sindiket, bertempat di Unit Udara Polis Sabah, Kota Kinabalu Sabah, diminta mengulas mengenai hubungan cinta anak lelakinya dengan aktres yang popular menerusi drama Bunga Merah Punya itu. Meskipun Shamiel atau lebih mesra dengan panggilan Albab merupakan anak angkat, namun Bade tetap prihatin terhadap anaknya itu dan berharap kedua-duanya tidak terlalu alpa dengan nikmat cinta yang mereka rasai sekarang ini hingga boleh menjejaskan disiplin diri sekaligus memberi kesan terhadap kerjaya masing-masing. "Biarlah mereka lalui pengalaman bercinta mereka sendiri. Saya waktu muda-muda dulu pun bercinta. Harapnya percintaan mereka memberikan sesuatu yang positif dan memberi inspirasi untukkedua-dua mereka untuk lebih maju dalam hidup. "Harap mereka jugadapat bekerja dengan lebih baik. Jangan pula kerana asyik bercinta, sampai menjejaskan disiplin masing-masing pula nanti," jelasnya lagi. Biarpun, mengetahui mengenai kontroversi yang terpalit kepada Sakinah baru-baru ini, namun Bade tidak melihat sikap Sakinah tu sebagai satu hal yang negatif. "Tiada sebab untuk saya tidak menerima Sakinah. Saya kenal dia dah lama, saya kenal kakak dia iaitu Sharifah Shahira. Kalau tentang hal video dia di Keek, itu adalah biasa. "Lebih-lebih lagi orang yang berusia muda sepertinya. Saya dulu pun masa muda macam tu. Masing-masing ada cara tersendiri untuk mengekspresikan diri mereka. Sakinah ni kelakar orangnya. "Malah saya pun tak tahulah kelebihan apa yang dia nampak pada Albab, sedangkan Albab tak ada apa-apa. Hanya seorang anak muda yang baru-baru nak belajar jadi jurukamera," luahnya lagi.
Categories: Corito Artis
0 ulasan:
Catat Ulasan