Kehadiran beg bimbit ini menggemparkan orang ramai berhampiran bangunan Menara YIT, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Orang awam dan pemilik premis berhampiran bangunan Menara Yayasan Islam Terengganu (YIT), di sini, gempar seketika selepas mendapati terdapat sebuah beg misteri yang mencurigakan diletakkan di lorong masuk berhampiran bangunan tersebut, semalam.
Difahamkan kewujudan beg bimbit berwarna hitam bertulis ‘Danger’ yang disangka berisi bahan letupan itu disedari orang awam kira-kira jam 10 pagi yang melalui laluan berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sepasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat, kira-kira jam 12 tengah hari.
Bagaimanapun katanya, siasatan mendapati beg berkenaan tidak memiliki barang berbahaya atau bahan letupan, sebaliknya hanya peralatan untuk pendawaian yang dipercayai milik individu yang bekerja sebagai juru teknik. “Kita tidak menerima maklumat mengenai bom cuma orang awam hanya memaklumkan terdapat satu beg misteri di laluan berkenaan, mungkin ia menimbulkan curiga kerana terdapat perkataan ‘Danger’ di beg berkenaan.
“Namun, kita akan meneruskan siasatan untuk mencari pemilik beg bimbit tersebut termasuk motif mengapa ia berada di lokasi kejadian, sama ada tertinggal atau sebaliknya,” katanya, semalam. Sementara itu, seorang saksi kejadian, A Munusamy, 58, berkata, dia menyedari kehadiran beg berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi ketika melalui kawasan itu selepas minum di kedai berhampiran bersama rakan.
“Beberapa individu lain turut melihat beg sama tetapi masing-masing tidak berani menghampirinya selepas melihat perkataan amaran ‘Danger’ dan bimbang seandainya ia adalah bahan letupan. “Bimbang kejadian tidak diingini, kami sepakat menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan