Keadaan Salleh yang tidak mempunyai tempurung kepala di sebelah kanan kepalanya menarik perhatian kenalan dan orang ramai
KAMPUNG BASUNG: “Sejak hilang tempurung kepala sebelah kanan, pakcik tak boleh terdedah dengan cahaya matahari. Jika bawa motosikal terlalu lama pula, pakcik terpaksa berhenti sekejap untuk buka topi keledar kerana panas,” kata Salleh Abu Bakar, 59.
Menurut pemandu pelancong di Tasik Kenyir ini, kemalangan yang menimpanya berlaku pada 5 Jun lalu kira-kira jam 5.30 pagi ketika pulang dari kerja. Katanya, motosikal ditunggangnya tiba-tiba terbabas di kawasan Bukit Simpul, laluan Kuala Jeneris ke Tasik Kenyir.
"Ketika itu pakcik dalam perjalanan pulang ke rumah dari Tasik Kenyir, pakcik tidak sedar bagaimana ia berlaku. Hanya kira-kira jam 7 pagi, ada yang menyedari pakcik kemalangan. "Difahamkan, ketika ditemui pakcik menyandar pada batu besar sambil pegang telefon di telinga seolah-olah sedang bercakap, pakcik hanya sempat dail nombor seorang kawan sebelum pengsan," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Salleh berkata, akibat kemalangan itu, dia dimasukkan ke ICU, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama 20 hari. Katanya, ketika sedar, pembedahan sudah pun dilakukan dan difahamkan tempurung kepala sebelah kanan terpaksa dibuang akibat pendarahan dalam kepala. “Pakcik tak terkejut bila lihat kepala kemik, tetapi menerima ketetapan-NYA dengan reda.
Lagi pun pakcik masih dapat lakukan kerja, cuma tidak boleh terlalu terdedah kepada cahaya matahari kerana akan rasa perit dan pening,” katanya. Menurut datuk seorang cucu ini, dia tidak mempunyai masalah untuk ke tempat kerja kerana jarak antara rumahnya ke Tasik Kenyir hanya kira-kira 15 minit perjalanan, dan ia tidak memerlukannya berhenti di tepi jalan untuk membuka topi keledar.
“Pakcik tidak boleh pakai topi keledar lama-lama kerana kepala akan terasa begitu panas akibat haba. "Keadaan kepala pakcik yang kemik ini turut menarik perhatian orang termasuk kenalan," katanya. Kata Salleh, dia difahamkan dalam tempoh enam bulan selepas pembedahan, tempurung kepalanya akan dipasang semula. Bagaimanapun dia masih menunggu keputusan daripada pihak hospital mengenai perkara itu.
"Jika jadi kenyataan syukurlah, namun sekiranya tidak pakcik tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan umur sehingga saat ini. Apatah lagi sejak kemalangan itu, pakcik terasa seolah-olah seperti mati hidup semula,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan