27 September 2013

Posted by jinson on 27.9.13 No comments
www.sinarharian.com.my
SHAH ALAM: Tiga pemilik restoran di Jalan Setia Prima P di sini, diarah menutup perniagaan mereka selama dua minggu selepas membiarkan lipas dan tikus berkeliaran di tempat simpanan bahan mentah yang akan digunakan sebagai hidangan kepada pelanggan, semalam.
 Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlsi Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapati mereka tidak menjaga kebersihan premis dan menjalankan perniagaan dalam keadaan kotor, sekali gus gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan MBSA. Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar MBSA Dr Roslan Fadzil berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan majlis itu melakukan pemeriksaan mengejut terhadap 43 premis perniagaan membabitkan gerai makanan dan restoran di sekitar bandar raya itu.
 “Sebelum ini, pemilik premis di kawasan berkenaan sudah diberi amaran agar menjaga kebersihan atau menghadapi tindakan menutup perniagaan jika kebersihan premis mereka didapati kurang memuaskan. “Tindakan itu juga dikenakan terhadap pemilik premis yang masih berdegil dan tidak membuat sebarang perubahan sebagaimana yang disyorkan kepada mereka. “Kita mengambil langkah berkenaan (amaran) untuk membolehkan peniaga memperbaiki mutu kebersihan di premis masing-masing supaya pelanggan yang datang akan lebih selesa dan tidak menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.
 Katanya, MBSA tidak berniat menutup ‘periuk nasi’ peniaga kerana kita sudah memberi peluang kepada mereka membersihkan premis masing-masing serta menjaga mutu makanan. Menurut Dr Roslan, bagi memastikan peniaga dan pengendali makanan meningkatkan pengetahuan masing-masing mengenai kebersihan dan keselamatan makanan, kursus mengenai perkara itu akan diadakan. Katanya, kursus pengendalian makanan itu sudah diswastakan dan ia dijalankan institusi latihan pengendalian makanan swasta yang mendapat pengiktirafan daripada MBSA.
 Dalam pada itu, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MBSA mengeluarkan 32 kompaun dan enam notis amaran kepada pemilik premis perniagaan yang tidak memiliki lesen perniagaan. Pengusaha premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan pula akan dikompaun RM300 termasuk mengarahkan pemilik premis menutup premis perniagaan mereka jika didapati tahap kebersihan tidak memuaskan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog