Penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem menganggap kehadirannya pada majlis atas jemputan parti politik pakatan pembangkang bukan untuk menyertai parti itu.
Ainan, 21, berkata, dia hanya memenuhi undangan bagi melaksanakan tugasnya sebagai seorang penyanyi tanpa mengira ideologi yang dibawa oleh sesebuah parti politik. “Saya hadir pada majlis politik bukan untuk beri ceramah atau berkempen tetapi memenuhi undangan nyanyian sahaja.
“Sejak dua tahun lalu ketika awal-awal dikenali lagi saya sudah beberapa kali buat persembahan di negeri-negeri yang diperintah pembangkang,” katanya. Tambah Ainan, dia tidak menganggap tindakan tersebut sebagai satu kesalahan yang mungkin menjejaskan kedudukannya sebagai artis baharu dalam industri muzik tanah air.
“Saya masih muda dan saya belum pernah mengundi jadi saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penghibur. Saya tidak takut atau berasa ia satu kesalahan kerana di situ adalah rezeki saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ainan yang baru melancarkan album sulung berjudul Aku Suka Dia sedang sibuk dengan penggambaran klip video untuk single terbaharunya Kamu Saja.
0 ulasan:
Catat Ulasan