Meskipun beliau sekarang ini berdepan dengan isu besar yang sekaligus mengemparkan seluruh industri hiburan baru-baru ini, namun pelakon Adi Putra tetap profesional.
Sebagai bukti beliau tidak bersembunyi mahupun cuba melarikan daripada pihak media, sewaktu di sesi preview filem KL Gangster 2 malam tadi, aktor kesayangan ramai muncul memenuhi tanggungjawabnya sebagai antara tonggak utama filem arah Syamsul Yusof itu.
Tidak keseorangan, Adi Putra, 32, turut ditemani isterinya, Aida Yusof, 37. Sejurus itu beliau keremuni pihak media. Bagaikan mengerti tugas kami (para media), Adi memberikan respon mengenai isu panas yang mengaitkan dirinya itu. "Mengenai dakwaan-dakwaan terhadap saya itu, saya biarkan pihak polis jalankan siasatan sebab saya tiada kuasa.
Negara kita punya undang-undang dan biar pihak polis jalankan siasatan secara terperinci. Saya tak boleh ulas lebih lanjut kerana tak mahu timbul perkara yang boleh mengaibkan. "Jadi bagi saya, biar kita diam dan sabar. Biarkanlah orang nak fikir apa.
Isteri saya ada di sebelah saya dan sentiasa menyokong saya", tuturnya kepada pihak media ketika ditemui di bertempat di TGV One Utama, malam tadi. Pasa 5 September lalu, Adi didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.
Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu. Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Ditanya sama ada ia satu perangkap dari pihak yang mendakwanya serta sejauh mana kebenaran dirinya diperas ugut ratusan ribu ringgit oleh pihak tersebut, Adi berkata, "Wallahualam, saya tak boleh berkata lebih-lebih. Biarkan air itu mengalir.
Sejauh mana ia mengalir biarkan ia mengalir, kita tak boleh halang. Hanyal ALlah saja yang boeh tumbangkan saya dan saya takkan tumbang di tangan manusia. Sekarang ini siasatan sedang dijalankan dan saya harus hormati undang", jawabnya.
Pada masa sama Adi menafikan dia melarikan diri daripada pihak media apabila enggan membalas panggilan telefon. Sebaliknya berjanji akan memberi penjelasan bagi meleraikan segala spekulasi yang timbul. Malah dia akur, sebagai selebriti dia tidak perlu berasa takut berhadapan dengan sesiapa pun kerana tahu kebenaran sebenar.
"Sebagai manusia kita ada rasa segan dalam apa-apa situasi tetapi saya harus akur bahawa saya seorang artis, perlu lalui apa-apa situasi sekalipun. "Ramai pihak media yang menelefon saya. Tapi saya tak larikan diri. Saya sentiasa ada di sini.
Cuma saya tak mampu lah nak jelaskan pada seorang demi seorang. Satu hari nanti bila tiba masanya saya akan leraikan semuanya dari mula hingga akhir. Saya akan keluarkan kenyataan media nanti. Sebagai manusia, kita tak sempurna.
Biarlah siasatan dijalankan agar kita akan mendapat jawapan yang lagi jelas dan benar" tuturnya. Dalam pada itu Adi mendedahkan gara-gara isu tersebut, beberapa tomahan dilemparkan terhadap isterinya. Begitu pun dia bersyukur kerana isterinya itu sentiasa memberikan sokongan dan suntikan semangat untuk dia terus berdepan dengan pelbagai spekulasi.
"Apa komen isteri saya tentang isu ini? Biarlah antara kami saja yang tahu. Tapi sejak isu ini timbul, ramai yang melemparkan tomahan terhadap isteri saya. Ada yang kata isteri saya gemuk lah, hodoh lah dan sebagainya. "Cakap lah apa saja, kerana saya tetap sayang isteri saya.
Dia tanggungjawab saya dan saya harus lindungi maruah dia. Isu ini sikit pun tidak menggugat karier seni saya juga kebahagiaan rumah tangga kami", katanya yang juga bercadang mahu membawa Aida bercuti ke luar negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan