Penyanyi dan penyampai radio Suria FM, Adibah Noor tidak berasa terkejut jika lagu duet baharunya bersama penyampai radio Era FM iaitu Dina Nadzir berjudul Malaysia Kau Ku Cinta tidak dimainkan oleh stesen radio swasta lain.
Biarpun begitu, penyanyi berusia 34 tahun ini agak terkilan dengan diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pengurusan stesen radio jika lagu tersebut dianggap sebagai satu produk daripada pesaing mereka. "Ketika lagu ini diedarkan, pihak Sony Music sudah beritahu awal-awal besar kemungkinan ia tidak dimainkan di radio swasta lain kerana saya dan Dina kedua-duanya penyampai radio.
"Saya berasa terkilan kerana lagu tersebut adalah atas kapasiti kami sebagai penyanyi dan bukan penyampai radio," katanya seperti yang dilaporkan mStar online Bagaimanapun, Adibah berkata, dia faham dengan perkara tersebut dan hanya berserah kepada rezeki yang datang.
Adibah juga tidak menyalahkan deejay radio berkenaan kerana itu bukan bidang kuasa mereka untuk buat pemilihan lagu, mereka juga menerima arahan daripada pihak pengurusan. Dalam pada itu Adibah juga mengakui sejak menceburkan diri dalam bidang penyiaran radio, lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini agak sukar didengar di stesen radio lain.
"Saya perasan juga lagu saya sudah tidak dimainkan lagi di mana-mana stesen radio lain, tapi tidak mengapa saya percaya pada rezeki. Ketika mula-mula ditawarkan menjadi deejay di Suria FM, pihak pengurusan sudah beritahu risiko yang bakal saya hadapi ini awal-awal lagi," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan