Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang sebelum ini dikenali dengan persembahan avant-garde memukau dari pemuzik orkestra serta penyanyi antarabangsa seluruh dunia bertukar atmosfera apabila dipanaskan dengan persembahan rockestra MPO Rocks oleh 3 rocker tegar terkenal negara.
Ratu rock tempatan Ella, gitaris tersohor Man Kidal dan Mus, vokalis hebat dari kumpulan May yang telah diberi penghormatan membuat persembahan rock pertama di pentas DFP dan peluang ini telah memanfaatkan peluang tersebut apabila tampil bertenaga sekaligus menggamatkan pentas ini dengan gegaran muzik rock mereka.
MPO Rocks merupakan salah satu segmen yang terdapat dalam kalender tahunan DFP sempena DFP Senifest 2013 yang bermula awal Isnin minggu lalu. Genre rock buat pertama kalinya telah mendominasi pentas ini dengan iringan muzik daripada Malaysia Philharmonic Orchestra dan lontaran vokal serta petikan gitar daripada 3 lagenda rock negara ini.
Kehangatan pentas mula dipanaskan seawal jam 8.30 malam oleh gitaris kumpulan rock Lefthanded, Man Kidal dengan persembahan pembukaan yang memukau menerusi lagu Seruan dan lagu tema The Godfather bersama iringan MPO. Tiba giliran Mus tampil mengambil alih pentas dengan seleksi lagu seperti Hakikat diikuti medley dari lagu hits kumpulan May iaitu Sinar dan Sendirian.
Persembahan diteruskan dengan dendangan mantap menerusi Pelayaran, Srikandi Cintaku sebelum ditutup dengan lagu daripada Led Zeppelin, Stairway to Heaven. Sekali lagi Man Kidal tampil ke pentas dengan gitarnya memainkan Sentuhan Kidal sebelum menampilkan satu-satunya bunga di dalam arena muzik rock di negara ini iaitu Ella ke pentas.
Penantian peminat terbalas dengan persembahan bertenaga daripada Ella melantunkan lagu patriotik Standing In The Eyes of The World. Tampil dalam persalinan gaun kembang ala victorian rona hitam putih menyerlahkan gaya ratu rock sejati kala menyarungkan busana direka khas Rizman Ruzaini ini, Ella yang cukup dikenali dengan gayanya yang manja itu tekah berinteraksi secara ringkas dengan penonton sebelum meneruskan persembahannya yang berlangsung kira-kira 30 minit itu.
Layar Impian menggamit memori zaman kegemilangan Ella yang diberi sentuhan baru dari segi cara nyanyiannya ditambah pula vokal Ella yang tetap unggul sama seperti dahulu. Medley menggabungkan 3 lagu hits iaitu Rindu, Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawah Merah.
Hits-hits daripada Ella yang kekal evergreen hingga kini membuatkan para penonton turut sama menyanyikan lagu seterusnya iaitu Dua Insan Bercinta sebelum menutupnya dengan lagu Kesal di mana Ella tetap tidak meninggalkan signature rock dengan melakukan headbanging. Walaupun ramai yang masih belum puas dengan persembahan Ella, Mus kembali ke pentas dan sorakan bergema kala muzik mula dimainkan. Highway Star, hits daripada kumpulan rock Led Zeppelin menjadi penutup persembahan MPO Rocks yang merupakan percubaan pertama DFP memartabatkan lagu serta pemuzik rock di negara ini
. Persembahan daripada trio otai rock ini telah diiringi oleh Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) dipimpin oleh konduktor muzik Ahmad Muriz Che Rose dan Dato` Ramli M.S bertindak selaku pengarah artistik bagi keseluruhan persembahan MPO Rocks.
0 ulasan:
Catat Ulasan