Berita pelakon dan penyanyi Fida Ibrahim yang semakin hari semakin dikenali menerusi lagu Apo Kono Eh Jang? menyertai ujibakat Akademi Fantasia 2013 pada Jun lalu bukan saja menjadi bualan tetapi tuan punya badan sendiri mendapat kritikan ramai.
Iyalah, diikutkan kariernya sebagai artis boleh dikata semakin baik. Dengan kelebihan itu lantas kehadiranya pada ujibakat tersebut dikatakan telah menutup peluang buat mereka yang bukan bergelar artis.
Lebih-lebih lagi dia antara yang berjaya dalam senarai pendek program realiti itu yang bakal bermula pada September depan. Bertemu gadis manis bertudung ini di majlis rumah terbuka KRU di Cyberjaya semalam, Fida bagaimanapun membidas dakwaaan tersebut.
Menjelaskan tujuannya sebenar, kata Fida keinginannya mahu menyertai Akademi Fantasia sudah lama dipendam. Tidak berniat mahu menutup peluang sesiapa sebaliknya matlamat Fida sama seperti orang lain iaitu mahu mendalami ilmu muzik dan nyanyian.
"Saya tak cukup ilmu lagi. Pengalaman dalam dunia seni itu memang lah tapi dalam akademi ada guru dan peluang untuk saya menimba ilmu nyanyian juga lakonan. Kalau selama ni ada yang cakap saya kayu berlakon, jadi saya nak ambil peluang untuk mempertingkatkan lagi mutu lakonan dan juga nyanyian.
"Saya tak tutup rezeki orang lain sebab rezeki tu Allah yang bagi. Saya dah tunggu peluang ni bertahun lamanya. Saya tak pernah berhenti mencuba. Saya harap orang diluar, kalau mereka mahukan sesuatu itu jangan cepat berputus asa untuk mendapatkannya", katanya yang menghadiri ujibakat program realiti tersebut di Shah Alam. Sementara itu Fida mendedahkan ini bukan pertama kali dia mengahdiri ujibakat program berkenaan.
Sebelum ini dia pernah mencuba nasib ketika di ujibakat AF6. "Sebenarnya dulu saya pernah cuba ujibakat One In A Million (OIAM) dan AF6. Tapi di peringkat ketiga ujibakat AF6 tu saya tak berjaya. Saya kecewa sangat sebab berbulan saya buat persiapan seperti hari-hari saya berenang untuk stamina dan belatih vokal dengan seorang yang berpengalaman dalam nyanyian", katanya
.
Belajar dari pengalaman dan kekecewaan lalu justeru kali ini dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk melangkah ke peringkat 24 finalis apatahlagi dalam kelompok 12 finalis.
"Hari tu saya hanya dapat kertas oren yang menandakan saya berjaya ke peringkat seterusnya. Tapi sampai saat ini saya memang tak tahu apa-apa keputusan dan status sama ada terpilih atau tidak.
Saya difahamkan akan ada konsert prelude dan saya berdebar juga ni nak tahu nasib saya ni", tuturnya. Tatkala diminta mengulas pula mengenai sepupunya,
Dato' Siti Nurhaliza yang menjadi Inspirer (pencetus inspirasi) bersama dua lagi penghibur disegani iaitu Melly Goeslaw dan Faizal Tahir, Fida memberitahu dia sejujurnya tidak tahu menahu mengenai perkara itu sehinggalah dimaklumkan oleh pengurusnya.
"Saya tak tahu yang dia (Dato' Siti) terlibat untuk AF kali ini. Tapi kalau memang rezeki saya ada, saya akan tetap teruskan juga dan tak akan menarik diri", katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan