Hampir seluruh bahagian kiri tubuh penyanyi Noorshila Amin disambar api berpunca daripada tong gas terbocor di kediaman anak sulungnya, Nurrul Admiena Norrizan di Kepong pada Sabtu lalu.
Noorshila, 49, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu membuatkan anggota kiri badannya termasuklah wajah, tangan dan kaki melecur.
"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.
"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya.
Tambah Noorshila, dia terus ke sebuah klinik di Selayang bagi mendapatkan rawatan dan kejadian itu juga membuatkan dia terpaksa membatalkan undangan persembahan yang diadakan pada sebelah malamnya (hari yang sama).
Noorshila masih lagi sukar untuk menggerakkan bibirnya namun mengambil sikap positif dengan melakukan aktiviti harian dan bercakap seperti biasa.
"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur.
Malah kening saya pun dah tidak ada. "Apa-apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya yang turut bersyukur kerana tidak berasa trauma dan hanya menjalankan rutin hariannya seperti biasa.
0 ulasan:
Catat Ulasan