Pelakon, Hairi atau nama sebenarnya Mohd Hairi Safwan Aznan, 25, mengesahkan bakal menikahi tunangnya, Fara Afiza Azman, 23, di rumah pihak perempuan di Pulau Pinang pada Mac tahun depan. Hairi yang merupakan pelakon kelahiran program realiti Anak Wayang berkata buat masa ini persiapan perkahwinan sedang dijalankan oleh pihak keluarga dan tunangnya.
"Alhamdulilah, setakat ni persiapan sudah pun kami lakukan sedikit demi sedikit. Namun dari segi konsep dan keputusan dalam perkahwinan ini saya banyak serahkan pada tunang saya sebab biasalah orang perempuan ni lebih tahu dan suka buat kerja-kerja macam tu," katanya kepada murai.com.my di lokasi penggambaran telemovie Si Wayar Putus di Rumah Seri Kenangan Cheras, petang tadi.
Tunangnya merupakan pelajar tahun akhir di Institusi Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah. Hairi memberitahu walaupun kini masih sibuk menjalani penggambaran iaitu kerjayanya sebagai pelakon, namun dia akui gentar untuk melangkah ke alam perkahwinan dan sedang mempersiapkan diri untuk ke peringkat itu. "Bagi saya tanggungjawab sebagai seorang suami ni berat dan jika saya tidak kuat dari segi iman dan sebagainya bagaimana saya hendak membimbing isteri dan bakal keluarga saya nanti.
"Jadi, sekarang saya sedang pelajari dan memantapkan diri dari segi iman untuk melangkap ke alam perkahwinan nanti, insyaAllah,"jelasnya lagi. Hairi turut memberitahu Fara merupakan wanita yang telah banyak mengubah dirinya supaya menjadi lebih baik sejak mereka berkenalan. "Fara seorang bermotivasi, sejak saya kenal dengan dia perubahan besar yang saya sedari pada diri saya adalah saya sudah pandai jaga kata-kata saya supaya lebih menjaga hati orang berbeza dengan dulu.
Malah saya berfikiran terbuka menerima pandangannya walaupun dia lebih muda dari saya,"luahnya lagi. Hairi membawa watak utama sebagai Kahel dalam telemovie Si Wayar Putus yang akan ditayangkan di TV9 pada Januari tahun depan.
0 ulasan:
Catat Ulasan