Pendakwah global dari India, Dr Zakir Abdul Karim Naik dan bekas Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin
diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435M/2013 pada Majlis Sambutan
Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini
PUTRAJAYA: Pendakwah global dari India, Dr Zakir Abdul Karim Naik dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435M/2013 pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.
Pengumuman nama tokoh itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. Pemilihan tokoh berkenaan dibuat atas asas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional ddan global yang mana turut diiktiraf oleh pelbagai pihak. Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000; pingat penghargaan Ma'al Hijrah 1435H; sijil penghargaan berbentuk plak dan sijil penghargaan beserta bingkai.
Sementara itu, Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Badlishah melahirkan kegusaran apabila melihat semangat 'kebersamaan dalam kepelbagaian' di kalangan rakyat kini cuba dikikis dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu. Baginda juga mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak melihat isu-isu mutakhir ini sebagai isu yang remeh dan memandangnya sebelah mata kerana isu dibawa tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah selain turut menghina institusi agama dan raja.
Di Melaka, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Profesor Dr Ibrahim Shah Abu Shah dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri 1435/2013. Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob di Auditorium Seri Negeri. Manakala di Pahang, rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang.
Anugerah itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Auditorium RTM, Kuantan. Di Perak, bekas Kadi Besar Perak, Sulaiman Ismail dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Perak 2013/1435M. Beliau menerima wang tunai RM10,000, medal, plak, sijil dan pakej umrah berjumlah RM5,000.
Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah berkenan hadir dan menyampaikan anugerah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Dewan Raja Baharom, Masjid Daerah Batu Gajah. Lebih 1,000 hadirin termasuk masyarakat setempat hadir memeriahkan sambutan di Batu Gajah. Di Bukit Metajam, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Syed Mohamad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang.
Beliau yang juga bekas Rektor Kolej Islam Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) itu menerima anugerah yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahaman Abbas di majlis yang diadakan di Politeknik Seberang Perai pagi tadi.
0 ulasan:
Catat Ulasan