SHAH ALAM: Polis menemui sepucuk pistol jenis Browning dan tujuh butir peluru di dalam tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang, malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah, berkata polis masih mengesan pemilik pistol dan mengenal pasti motif senjata itu ditinggalkan di kawasan stadium.
Pemeriksaan badan
Kira-kira 85,000 penonton menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-87 itu. Polis melakukan pemeriksaan badan menggunakan alat pengimbas terhadap penyokong kedua-dua pasukan sebelum membenarkan mereka memasuki perkarangan stadium bagi mengelakkan mereka membawa senjata berbahaya.
“Perlawanan akhir antara Kelantan dengan Pahang berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku kerana 110 pegawai dan 1,482 anggota polis ditempatkan di segenap stadium termasuk di kawasan letak kenderaan, laluan masuk dan keluar stadium serta pintu tiket,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ruslan berkata, polis menahan 86 orang kerana membawa tiket palsu dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis juga menahan lima lelaki kerana pelbagai kesalahan lain termasuk tiga menyalakan suar dan masing-masing satu kesalahan kerana membakar mercun dan membaling botol.
Bahayakan diri
“Tindakan menyalakan suar bukan saja membahayakan diri sendiri, malah nyawa penonton lain, termasuk kanak-kanak yang ada dalam stadium. Tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan semula dengan ibu bapa mereka.
Perlawanan akhir itu menyaksikan Pahang menamatkan kemarau 21 tahun selepas menewaskan juara bertahan, Kelantan 1-0 untuk dinobatkan sebagai juara.
0 ulasan:
Catat Ulasan