Penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail atau FBI mengakui bakal bersara dalam bidang penyampaian radio secara serius.
Pun begitu, Faizal menafikan telah membuat notis 24 jam kepada pihak pengurusan sebaliknya dia bakal bertugas secara sepenuh masa sehingga 16 November ini.
“Saya bukan notis 24 jam. Tapi saya telah membuat notis berkenaan pada 24 Oktober. Mungkin disebabkan angka itu ada wujudnya salah faham. Apapun, saya bakal mengakhiri kerja sepenuh masa saya sebagai penyampai radio pada 16 November ini.
“Sungguhpun saya sudah meletakkan jawatan di sini, pihak pengurusan masih lagi memberi peluang kepada saya untuk menjadi penyampai hujung minggu.
Selepas ini, saya mahu lebih fokus dengan syarikat saya iaitu FBI Entertainment,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut menolak dakwaan yang mengatakan keputusan ini dibuat kerana dia memperoleh tawaran dari stesen radio yang lain.
“Saya berhenti bukan sebab dapat tawaran dari radio lain. Sejujurnya, saya sudah dua tahun simpan hasrat ini.
“Selama ini, saya hanya berkongsi hasrat ini dengan isteri saya saja. Terus-terang, saya perlukan fikirkan mengenai kerjaya saya pada masa akan datang.
“Lagi pun, saya bukannya jenis suka duduk selesa dengan apa yang ada pada saya sekarang. Saya tidak mahu terperangkap dengan keselesaan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Faizal menegaskan dia hanya akan bersara dalam bidang penyampaian radio tetapi bukan bidang pengacaraan TV.
“Saya berhenti di radio tetapi tidak di TV. Saya masih lagi terus jadi pengacara TV selagi ada permintaan. Skop kerja hos dan DJ sepenuh masa amat berbeza.
“Sejujurnya, saya mahu lebih fokus jadi pengacara TV dan mahu memperbaiki mutu persembahan pengacaraan saya.
“Apapun, dalam masa terdekat ini saya tidak akan kembali sebagai penyampai radio. Saya dah buat keputusan yang tidak akan berubah. Sekarang saya rasa lega dan dalam masa yang sama saya terhutang budi,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan