16 September 2013

Posted by jinson on 16.9.13 No comments
Fadzil (dua, kanan) dipeluk ibunya ketika keluar dari bilik perbicaraan sambil diiringi peguam, Datuk Naran Singh (kiri)/ Pic: Sinar Harian
ALOR SETAR: Suasana di bilik perbicaraan Mahkamah Tinggi 4 di sini, semalam, diselubungi pilu sebaik sahaja Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, membebaskan pertuduhan ke atas Ahmad Fadzil Hamzah, 34, daripada tuduhan mengedar dan memiliki dadah di Kulim, dua tahun lalu.
 Ahmad Fadzil yang juga seorang penternak lembu, meraup muka diiringi tangisan kegembiraan lantas memeluk ibunya, Siti Doyah Ahmad, 65, yang turut sebak sebaik keputusan mahkamah dibuat. Mohd Zaki membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.
 Ahmad Fadzil dalam pertuduhan pertama didakwa mengedar 16.47 kilogram dadah iaitu 16.32 kilogram heroin dan 149.6 gram monoacetylmorphine di dalam kereta jenis Mercedez Benz nombor pendaftaran SA5880J di tepi rumah No 9, Kampung Baru, Sungai Kob, Kulim kira-kira pukul 1 petang, 5 Ogos 2011. Bagi tuduhan itu, Ahmad Fadzil didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 84.8 gram kanabis di lokasi, tarikh dan waktu yang sama. Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama iaitu boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
 Mohd Zaki dalam penghakimannya berkata, keterangan utama pendakwaan yang menjadi asas pertuduhan adalah kereta yang mengandungi dadah itu dibuka menggunakan kunci yang ditemui di dalam sebuah beg kepunyaan tertuduh yang dijumpai di dalam bilik tidur rumah. Menurutnya, pendakwaan juga menyatakan hasil soal siasat, tertuduh turut menunjukkan dadah di dalam kereta berkenaan seterusnya mengaitkan tertuduh dengan dadah tersebut.
 “Bagaimanapun dalam pembelaan, tertuduh memberitahu kunci (kereta) itu diperoleh daripada bapanya selain dia tidak beritahu atau tunjuk dadah di dalam kereta terbabit. “Setelah meneliti semua keterangan, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya.
 Sementara itu, Ahmad Fadzil ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana terlepas daripada hukuman mati dan perancangannya dalam masa terdekat adalah terus mengusahakan projek ternakan lembu di Kulim. “Sudah dua kali saya beraya di penjara dan tahun ini saya dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
 Ibu juga sudah rancang untuk menumbangkan dua ekor lembu untuk buat kenduri kesyukuran,” katanya yang diwakili peguam, Datuk Naran Singh.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog