SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng bukanlah seorang warganegara Malaysia kerana mendiang tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak kerakyatannya di negara ini.
Beliau pada masa sama berkata, Chin Peng akan lebih aman sekiranya disemadikan di tempat beliau menghabiskan sisa hidupnya. “Dia tidak pernah mendapatkan kerakyatan (Malaysia) ketika dia menyertai PKM...
Saya tidak pasti sama ada beliau mendapat kewarganegaraan dari Thailand tetapi dia bukan seorang warga Malaysia,” katanya menerusi laman mikro Twitter. Chin Peng meninggal dunia pagi tadi di sebuah hospital di Bangkok.
Malaysiakini yang memetik seorang bekas anggota PKM berkata, mendiang mahu abu mayatnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Setiawan, Perak. Fang Shan berkata perkara itu dinyatakan kepadanya ketika bertemu Chin Peng pada tahun lalu.
"Pada kali terakhir saya bertemunya adalah setahun lalu di Bangkok. "Dia beritahu saya perkara sama: Dia mahu pulang ketika masih hidup. Jika tidak, dia mahu abu mayatnya dibawa pulang.
"Dia tidak dapat pulang semasa hayatnya. Inilah kekesalannya yang paling besar," kata Fang Shan, 75 yang pernah menjadi pemimpin propaganda PKM.
0 ulasan:
Catat Ulasan