10 Oktober 2013

Posted by jinson on 10.10.13 No comments
Poster KL Gangster
MESKIPUN Kuala Lumpur dikatakan 'mesra pelancong' dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dari pelbagai aspek, namun malang sekali kerana disebalik segala keindahan itu ada sisi gelap yang agak membimbangkan.
 Malang di sini adalah kerana laporan sebuah laman sesawang telah menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai salah satu di antara 10 bandaraya paling berbahaya di dunia. “Kadar jenayah meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh tiga tahun yang lalu," menurut kenyataan laman itu. Barangkali laporan tersebut turut mengambilkira kejadian tembak-menembak dan jenayah melibatkan kongsi gelap yang saban hari memenuhi dada akhbar dan buah mulut masyarakat.
 Secara umumnya, trend jenayah di Malaysia didapati mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di negara maju, hanya yang membezakannya adalah jumlah kes dan kadarnya sahaja. Jika dilihat pada skala yang besar pula, kejadian tembak menembak dan membunuh serta jenayah berkumpulan ini mungkin perkara biasa di bandar seperti New York. Tetapi ini di Kuala Lumpur? Oleh itu, di mana silapnya? Persoalan sekarang, adakah peningkatan kadar jenayah ini berkaitan dengan populariti filem-filem gangster yang membanjiri pawagam tempatan?
 Tidak dinafikan, filem-filem bercorak ganas seperti ini mendapat sambutan dari masyarakat tempatan sekaligus mampu meraih keuntungan yang besar sehingga boleh mencapai taraf pecah panggung atau 'box office'. Gambaran keganasan keterlaluan yang ditonjolkan serta bahasa yang kasar boleh mempengaruhi penonton yang lebih muda tambahan pula, mereka boleh mendapat akses kepada filem di laman web sahaja tanpa menghadapi halangan penapisan.
 Ramai juga yang terpesona dengan gaya hidup seorang gangster yang kelihatan 'cool' hingga terlupa bahawa cara hidup sedemikian bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah mampu mengancam nyawa. Paparan yang ditonjolkan pula seolah-olah keadilan lebih mudah dicari di luar sistem undang-undang. Penerbit filem, Eddie Tiger dalam satu laporan akhbar, menjelaskan dalam satu penyelidikan, pelajar sekolah menengah yang mencecah 13 hingga 18 tahun adalah golongan mudah dipujuk untuk menyertai sesuatu kumpulan kongsi gelap.
 "Mereka disogok dengan kepercayaan bahawa kumpulan-kumpulan ini akan melindungi mereka daripada pembuli, persahabatan yang berkekalan dan tawaran pekerjaan yang lumayan. " "Namun pada hakikatnya, itu hanya salah satu cara samseng yang telah 'dipakejkan' agar kelihatan seperti sebuah kehidupan yang menarik," katanya. Datuk Yusof Haslam Pembikin filem tersohor Datuk Yusof Haslam, yang juga penerbit filem KL Gangster dan KL Gangster 2 pula berpendapat filem gangster tetap mempunyai mesej yang positif walaupun dari segi luarannya kelihatan negatif.
 "Harus diakui bahawa terdapat babak babak keganasan yang tidak dapat dielakkan daripada menjadi tontonan orang muda, termasuklah di televisyen. "Tetapi laman internet juga dipenuhi dengan unsur-unsur tersebut. "Jika anda bercakap mengenai golongan muda yang terdedah kepada pengaruh buruk melalui media, anda silap jika hanya menyalahkan filem. Salahkanlah juga internet.
 "Apabila sebuah filem itu menceritakan kehidupan gangster (dengan adegan ganas), masih terdapat mesej yang positif pada akhirnya, iaitu sekiranya anda melakukan sesuatu yang buruk dan terlibat dalam jenayah, anda akan menerima akibat yang buruk. "Jadi, harus saya tekankan disini, plot di dalam filem-filem gangster tempatan tidak memuliakan samseng.
 Plotnya mempunyai mesej yang positif," kata Yusof. Beberapa personaliti yang terlibat dalam industri perfileman tempatan turut menyokong pandangan ini. "Bukan filem yang meggalakan jenayah kongsi gelap. Sebaliknya, jenayah gengster telah lama wujud di negara ini..sebelum Merdeka lagi. Jenayah sebegini juga merupakan hakikat kehidupan di seluruh dunia," kata pelakon-pengeluar filem Rosyam Nor. Pelakon, pelawak, pengarah dan penerbit terkenal Afdlin Shauki berkata:
 "Jika kita ingin melakarkan sebuah kisah kebaikan-mengatasi-kejahatan, kita perlu menunjukkan bahagian jahatnya. Jika tidak ada orang jahat di dunia, menjadi insan yang baik akan hilang maknanya. "Namun begitu sebagai pembikin filem, kami ingin memberitahu belia-belia hari ini untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara tersebut." kata beliau.
 Pelakon Sharifah Amani, bagaimanapun dilihat agak terkilan dengan klasifikasi yang diberikan kepada filem KL Gangster 2. Dilaporkan, beliau telah 'bertekak' dengan pengarah filem itu Syamsul Yusof di Twitter sambil memberikan komen sinis tentang rating PG13 untuk filem KL Gangster 2.

www.beautifulnara.com
Tweet beliau berbunyi: “My film (Nam Ron & Psiko Pencuri Hati) only showed a bit of blood and it gets PG18. Yours (KL Gangster 2) on the other hand, feature drugs, beatings, rape, swearing and all, and yet it gets PG13.” (Filem saya (Nam Ron & Psiko Pencuri Hati) hanya menunjukkan sedikit darah sudah kena PG18. Kamu punya (KL Gangster 2) pula ada dadah, pukul, rogol, carut dan sebagainya tapi dapat PG13.)"
 Sementara itu, pengkritik filem dan pensyarah Aswara, al-Jeffrey berkata: "Rakyat Malaysia bukan bodoh, mereka ingin menonton filem-filem yang baik. Silapnya adalah ketika filem KL Gangster 2 ditayangkan, negara sedang berdepan dengan kadar jenayah yang serius,"
 Kebanyakkan ibu bapa pula melahirkan kebimbangan dengan penularan budaya gangster dan bersetuju dengan tindakan polis memerangi jenayah melibatkan geng ini seperti Ops Cantas Khas yang dilihat sebagai satu “senjata” yang sangat diperlukan.
 "Dialog kasar dalam sebuah filem samseng adalah tidak wajar sama sekali untuk orang muda. Para penonton muda akan lebih cenderung untuk meniru cara watak-watak itu bercakap dan mereka akan cuba untuk menghafal skrip berkenaan. Atas sebab ini, saya rasa filem-filem samseng tidak sesuai untuk anak-anak muda, " kata Sharifah, 32.
 "Bagi saya, skrip perlu ditapis kerana banyak antara skrip atau ayat yang digunakan tidak sesuai untuk anak-anak," kata Mohd Khairil maksum, 32.

pic: Anak muda: Syuhairi, Mohd Haziq, Ahmad Haziq
Bagi seorang anak muda, Syuhairi, 19, filem bercorak ganas adalah satu pendedahan untuk golongan remaja untuk menonton dan menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Dalam sesebuah karya itu, pasti ada satu pengajaran yang baik yang boleh diambil iktibar dari plot.
 Finas yang dikenali sebagai tunggak untuk memajukan, memelihara dan memudahkan pembangunan industri filem di Malaysia berkata mereka tidak merancang untuk menghentikan filem-filem gangster.pic: Raja Rozaimi.

pic: Raja Rozaimi
"Saya tidak fikir filem-filem samseng mempunyai pengaruh yang besar kepada orang muda. Seperti setiap filem, saya rasa ia mempunyai unsur positif. Finas tidak akan menyekat pembikin filem untuk menghasilkan kerja mereka,” kata Pengarah Finas, Raja Rozaimi Dalnish Shah.
 Ironinya, KL mungkin sebuah bandar raya yang berbahaya atau mungkin juga tidak. Tetapi satu perkara yang pasti, ia adalah sebuah bandar yang menyukai jenayah... di dalam pawagam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog