9 Oktober 2013

Posted by jinson on 9.10.13 No comments
kumpulan tiga teruja guna khidmat alyah
KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2013: Platform menjuarai pertandingan Bintang Idola BH (BIBH) 2012 menjadi langkah permulaan buat kumpulan Tiga yang dianggotai Arween, Alfie, Maya dan Zack untuk mewarnai persada seni tempatan.
 Ditubuhkan pada 1 Mac lalu, Tiga yang pada awalnya hanya dianggotai tiga orang ahli, mengetengahkan konsep vokal secara berharmoni, yang seakan serupa sebagaimana kumpulan Innuendo dan Ruffadge suatu ketika dahulu. Ketua kumpulan Tiga, Arween menyifatkan sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan diri mereka dengan genre muzik pelbagai seperti world music, pop RNB dan pop rock dengan berbekalkan pengalaman muzik masing-masing.
 “Kami datang daripada pelbagai latar belakangmuzik. Macam saya dan Maya pernah menyanyi di kelab malam. Zack sendiri datang daripada keluarga muzik. Alfie sendiri pernah menyertai pertandingan realiti nyanyian seperti Mentor musim kedua di mana Zaf daripada anggota VE menjadi mentor kepadanya. “Malah ada di antara kami yang pernah disenarai pendek dalam pertandingan Akademi Fantasia tetapi ternyata tuah belum menyebelahi kami.
 “Tapi itu bukan alasan untuk kami terus mengalah, sebaliknya kami perlu mencari alternatif lain untuk membuktikan bakat yang ada. Lalu Tiga menjadi manifestasi kepada apa yang kami mahu perjuangkan,” katanya. Memilih lagu Pengakuan ciptaan sepenuhnya penyanyi Alyah, Arween menjelaskan mereka yakin lagu itu boleh dianggap sebagai mesra radio dan mampu menambat hati pendengar. Malah ada cerita di sebalik lagu yang sudah terperap lama sejak 2008 itu.
 “Alfie sendiri kenal rapat dengan Alyah dan itu adalah permulaan yang mencetuskan kerjasama sulung ini. Malah kami juga cukup bangga dan senang dapat bekerjasama dengan Alyah menerusi lagu berkenaan.Moga apa yang kami rencanakan akan berjalan lancar. Insya-Allah,” katanya. Sementara itu, Alyah pula berkata ada cerita di sebalik lagu Pengakuan. Lagu berkenaan juga menjadi pertaruhan sulung penyanyi itu dalam penciptaan lagu.
 Lagu itu diilhamkan Alyah sendiri sekitar 2005 ketika dia masih bergelut membuktikan hayat seninya. “Rizal atau kini dikenali dengan nama Alfie memang sudah lama dikenali Alyah. Kami pernah merancang untuk mewujudkan kumpulan yang mana dua daripada diwakili kami dari Malaysia dan dua lagi anggota dari Indonesia untuk pertandingan Gangstarz di TV3. “Tetapi nak dijadikan cerita hasrat kami itu tersekat apabila Alyah saja yang mara untuk uji bakat.
 “Ketika itu pula, Alyah bakal diserap untuk menyertai kumpulan One Nation Emcees yang turut bersaing dalam pertandingan berkenaan. Bagaimanapun Alyah akhirnya memilih untuk tidak bersama kumpulan itu kerana memikirkan tidak manis dan tak wajar meneruskan perjuangan sedang Rizal dan dua lagi teman dari Indonesia tidak. “Selepas itu, Alyah cuba berjinak-jinak mencipta lagu dengan menghasilkan melodi. Lagu Pengakuan yang mempunyai adunan pop dan rap pada asalnya dibuat atas dasar mencuba dan tak sangka pula karya itu yang diidamkan kumpulan Tiga.
 Pada saat itu Alyah berasakan lagu berkenaan masih belum memenuhi piawaian. “Alyah sendiri tak rasa diri ini sudah bagus dalam dunia komposisi lagu. Ditambah pula dengan Alyah yang tak mempunyai pengetahuan dan selok belok mendalam dalam dunia berkenaan. Tak sangka selepas lapan tahun membikin lagu itu dan mendengar susunan baru yang dihasilkan kumpulan Tiga, ia jadi boleh tahan juga bunyinya,” kata penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang Itu. Mengenai kumpulan Tiga, Alyah memuji usaha anggota berkenaan untuk memeriahkan persada seni. Tambahnya lagi, setiap daripada anggota kumpulan Tiga mempunyai bakat tersendiri.
 “Alfie sendiri yang Alyah kenal dulu juga bergelut seperti mana kemunculan Alyah dulu.Alyah harap kumpulan ini akan terus maju jaya. Lagu Pengakuan juga meninggalkan memori tersendiri buat Alyah dan harap ia dapat memberi tuah kepada mereka,”kata Alyah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog