12 Ogos 2013

Posted by jinson on 12.8.13 No comments

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat seorang lelaki menggunakan nama Alan Tang yang didakwa menghina agama Islam melalui status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis juga telah mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam, bagi memulakan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. "Kertas siasatan dibuka semalam dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh walaupun dalam kes ini, pemilik akaun Facebook terbabit telah menafikan dia adalah individu yang bertanggungjawab memuat naik status berkenaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini. Tegas Khalid, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh mengundang situasi tidak aman kepada negara. "Kita telah meminta bantuan SKMM untuk meneliti dan menjejaki individu sebenar yang bertanggungjawab memuat naik status yang telah mengundang kemarahan umat Islam di negara ini," katanya. Sementara itu, polis Johor menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pasukan khas itu diketuai oleh Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azizan Anan. "Polis telah merakamkan percakapan (Alan) dan saya telah mengarahkan siasatan disegerakan bagi membolehkan kertas siasatan yang lengkap dikemukakan kepada pihak pendakwa raya," katanya semasa ditemui pada majlis pelancaran Rumah Kelab dan Galeri Jualan Country Garden Danga Bay, Johor Bahru, hari ini. Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Turut berangkat Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Aminah. Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan Alan yang memuat naik kad ucapan Aidilfitri di laman sosial Facebook dengan memaparkan gambar kepala khinzir bersama ketupat dan lemang dengan ucapan 'for malay muslim...Selamat hari buat semua, nikmati hidangan head roast pork with ketupat'. Sebaliknya, Alan mendakwa terdapat individu lain yang meniru foto serta namanya di laman Facebook, sekali gus memfitnahnya menulis status yang menghina Islam. Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Roslan Hassan; Setiausaha Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Huzailizan Misron dan Naib Ketua Penerangan MCA Bahagian Pasir Gudang, Tan Tuan Peng masing-masing membuat laporan polis berhubung isu berkenaan hari ini. Ketiga-tiga laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini kira-kira 9.30 pagi bertujuan menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat kes terbaharu menghina Islam itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog