23 Julai 2013

Posted by jinson on 23.7.13 No comments

Satu sindiket juru nikah palsu dikesan bergiat aktif di beberapa negeri termasuk Perak dengan menawarkan khidmat menikahkan pasangan Islam terutama yang berdepan masalah atau kesukaran berkahwin dengan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 setiap pasangan. Sindiket itu turut diberi jolokan sindiket nikah ‘touch n go’ kerana kelicikan dalangnya, lelaki dikenali panggilan ‘Tok Ayah’ berusia lewat 40-an atau awal 50-an yang menyediakan khidmat itu secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Modus operandi sindiket itu ialah Tok Ayah membawa konco-konconya bertemu pasangan yang mahu mendapatkan khidmat mereka di tempat ditetapkan, termasuk di tepi jalan sebelum menikahkan ‘pelanggannya’. Berdasarkan risikan, Tok Ayah dikatakan berpangkalan di Kedah tetapi bergerak antara negeri itu sehingga Wilayah Persekutuan bagi menawarkan khidmatnya sekali gus menarik minat pasangan tertentu yang memilihnya sebagai jalan pintas untuk bernikah. Ia disebabkan pasangan terbabit tidak mahu bersusah payah mematuhi prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negeri atau apabila berdepan masalah untuk berkahwin sehingga sebelum ini pasangan seperti itu sering pergi bernikah di negara jiran. Lelaki itu juga didakwa membekalkan sijil nikah palsu dan di Perak, kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengesan dan merampas beberapa sijil nikah palsu yang ditiru berdasarkan format sijil nikah baru versi jawi digunakan di Perak berkuat kuasa di negeri terbabit tahun lalu. Pengarah JAIP, Mohd Yusop Husin, berkata siasatan mendapati Perak menjadi tempat persinggahan Tok Ayah melakukan kegiatan itu antara Kedah dan Wilayah Persekutuan dan di negeri ini, suspek dikatakan menggunakan seorang ejen bagi memudahkan urusan mendapatkan pasangan untuk dinikahkan. Bagaimanapun, katanya, lelaki itu sukar diberkas kerana begitu licik menjalankan kegiatannya termasuk secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain menemui ‘pelanggannya’. “Antara kes terbaru yang kita kesan dikatakan berlaku di Margosa (Bandar Seri Botani, dekat Simpang Pulai). “Berdasarkan maklumat, lelaki ini menikahkan sendiri pasangan selain turut membawa bersamanya saksi sebelum memberikan sijil nikah palsu tertera nama pendaftar bertauliah. Bayaran dikenakan bagi proses itu antara RM2,000 hingga RM5,000 yang perlu dijelaskan sebaik proses selesai. “Sijil asli mempunyai lapan ciri keselamatan namun pemeriksaan sijil nikah palsu yang kita peroleh mendapati ada perbezaan dari segi saiz, warna dan kualiti kertasnya. Dari segi warna umpamanya, warna kuning pada logo Perak lebih pudar berbanding yang asli,” katanya.
Categories:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog