12 Julai 2013

Posted by jinson on 12.7.13 No comments

Skuad bola sepak kebangsaan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab di Jepun dari 23 Julai hingga 1 Ogos sebagai persiapan menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, Oktober ini. Dalam kunjungan ke Jepun itu, Harimau Malaya akan menentang dua kelab Divisyen Satu Jepun iaitu Shimizu S-Pulse dan Shonan Bellmare, masing-masing pada 25 Julai dan 27 Julai, sebelum mengakhiri kunjungan mereka berdepan kelab Divisyen Dua, Tokyo Verdy pada 31 Julai. Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kunjungan itu ialah antara perancangan awal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mempersiapkan skuad Harimau Malaya sebelum bertemu Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Okt. "Kunjungan ke Jepun itu telah dipersetujui Sekretariat FAM yang dipengerusikan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin selepas kita mendapat pelawaan daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA). "Ini kerana kebanyakan kelab di sana ketika ini sedang menjalani latihan pramusim," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengelola perlawanan persahabatan antara Malaysia dan kelab liga Perdana Inggeris, Chelsea FC di Stadium Shah Alam, hari ini. Dalam pada itu, Subahan berkata Harimau Malaya akan menentang kelab Liga Perdana Thailand, Chonburi FC dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Julai sebelum berdepan Chelsea FC pada 21 Julai di lokasi sama. Subahan menolak pandangan sesetengah pihak bahawa kunjungan skuad Harimau Malaya ke luar negara untuk menentang pasukan bertaraf kelab hanyalah sekadar 'makan angin'. "Soal kita menentang pasukan kelab tidak sepatutnya timbul sebagaimana kunjungan kita ke Australia baru-baru ini kerana menerusi kunjungan itu, pemain kita mendapat pendedahan berguna. "Selain itu, kita cuba 'memasarkan' pemain kita kepada pasukan luar negara. Di Jepun nanti, misalnya, saya bercadang menjemput beberapa jurulatih kelab Divisyen Satu Jepun untuk menilai prestasi pemain kita," katanya. Sementara itu, Pengarah Urusan ProEvents International Sdn Bhd San Boon Wah yakin jualan tiket bagi perlawanan antara Harimau Malaya dan Chelsea FC mendapat sambutan walaupun perlawanan itu diadakan semasa bulan puasa. "Setakat ini kami telah menjual kira-kira 30,000 tiket dan kami yakin jualan akan meningkat," katanya. San berkata pemegang tiket bagi perlawanan Malaysia-Chelsea boleh juga menyaksikan sesi latihan pasukan itu di Stadium Nasional pada 20 Julai tanpa perlu mendapatkan pas lain. Katanya pasukan Inggeris itu dijangka tiba di Malaysia pada 18 Julai sebelum berlepas pada 23 Julai untuk menamatkan kunjungan pramusim 2013/14 ke Asia menentang pasukan Indonesia XI di Gelora Bung Karno Jakarta. Kelab di bawah pengurus baharu Jose Mourinho itu akan bermain menentang pasukan Singha All-Star XI dalam Piala Singha di Stadium Nasional Rajamangala Bangkok pada 17 Julai.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog