Dakwaan sesetengah pihak mengenai status aktor Nazim Othman yang dikatakan meminati kaum sejenis membuatkan kekasihnya, aktres Bella Dally berasa kasihan terhadap pelakon itu.
Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 22, berkata, dia tidak endah dengan gosip itu termasuklah tuduhan dia menjalinkan hubungnya semata-mata mahu menutup kisah sebenar Nazim.
"Saya tak pernah bengang apabila mendengar orang kata begitu kerana kami saling percaya di antara satu sama lain.
"Mungkin kerana kami tidak dilihat terlalu kerap bergambar dan kemudian memuatkannya dalam laman sosial membuatkan ada pihak merasakan hubungan cinta kami sekadar penipuan," katanya.
Tambah pelakon drama Dewi Lasak ini, dia juga enggan terlalu kerap menceritakan mengenai hubungan mereka kerana lebih berminat untuk peminatnya memberi perhatian terhadap bakat lakonannya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Sabah ini memberitahu dia dan Nazim belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
"Sekarang ini, kami mengejar cita-cita untuk menjadi pelakon yang bagus. Banyak perkara yang perlu diasah lagi sebelum nama kami kukuh dalam industri seni hiburan tempatan," ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan