Produser penuh kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, bersyukur kerana majlis pernikahannya bersama bassist kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali, 45, berjalan dengan lancarnya di Laman Beringin, Istana Budaya, sebentar tadi.
Namun dalam pada itu, Raja Azmi tidak menafikan yang perasaannya agak bercampur baur iaitu gembira dan pada waktu yang sama berasa agak takut.
“Gembiranya hati saya ini ibarat seperti melahirkan anak pertama dan ianya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Perasaan takut pula datang menjelma apabila memikirkan yang saya bakal memikul semula tanggungjawab sebagai seorang isteri.
“Lebih bertambah takut apabila saya terpaksa bergelar ibu kepada 5 anak sekarang ini. Tanggungjawab itu amat besar, tapi saya akan cuba menjadi ibu yang baik buat anak-anak Eddie dan pada masa yang sama menjadi ibu yang lebih baik buat anak-anak saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Eddie pula berkata yang dia gembira dan bersyukur kerana apa yang dirancang telah pun berlangsung dengan selamatnya.
“Kini saya sudah pun sah bergelar suami kepada Raja Azmi. Rasa macam tak percaya yang hubungan kami sudah sampai ke tahap ini. Selama 5tahun saya nenduda, saya pernah terfikir untuk berkahwin lagi tapi tak tahu bila masanya sehinggalah saya dipertemukan dengan Raja Azmi.
“Seperti orang lain, saya juga mengharapkan perkahwinan kami ini akan kekal sepanjang hayat,” ujar Eddie.
Dalam pada itu, pasangan juga turut berkata selepas berkahwin, mereka akan melalui kehidupan seperti biasa dan cuba mengenali dan memahami satu sama lain dengan lebih mendalam lagi.
Kata Eddie, dia memahami kerjaya Raja Azmi dan akan cuba memberi sokongan dan dorongan.
Begitu juga sebaliknya. Tetapi dalam masa yang sama, masing-masing hendaklah mengetahui had dan batasan sebagai suami isteri.
Tentang cahaya mata, Raja Azmi secara jujur memberitahu yang dia telah pun melalui proses putus haid.
“Secara saintifiknya, kalau sudah melalui proses ini, pasti susah untuk saya mendapat cahaya mata bersama Eddie.
Namun kalau ada itu adalah kuasa Allah dan kami tidak akan menolaknya”, jelas Raja Azmi.
Menyentuh bab bulan madu pula, Raja Azmi menjelaskan dia dan Eddie sudah merancang untuk bercuti ke Desaru.
Namun pada saat akhir, ianya terpaksa dibatalkan kerana RajaAzmi sudah terlibat dengan komitmen untuk penggambaran All Stars MasterChef Malaysia.
“Penggambaran All Stars MasterChef Malaysia akan bermula pada 16 Oktober iaitu 3 hari selepas saya bernikah, jadi saya dan Eddie tidak dapat nak berbulan madu. Nasib baik Eddie seorang yang memahami situasi saya. Mungkin kami hanya akan berbulan madu di rumah sahaja”, kata Raja Azmi sambil ketawa.
0 ulasan:
Catat Ulasan