KUALA LUMPUR: “Orang hanya pandai mengata, tuduh saya tak tahu jaga anak dan macam-macam lagi. Hakikatnya, saya dan suami sudah jalankan tanggungjawab kami dan anak saya bukan gadis liar yang boleh keluar rumah sesuka hati.
“Kalau perkara sama berlaku pada mereka (orang yang mengata), mungkin baru mereka tahu apa yang saya dan suami rasakan sekarang. Saya merayu, fahamilah situasi kami dan janganlah tuduh kami yang bukan-bukan.”
Itu luahan hati seorang ibu mahu dikenali sebagai Rohani, 36, selepas rakaman video anak perempuannya yang berusia 15 tahun dengan ‘aksi mesra’ bersama teman lelaki, kini tersebar meluas di laman YouTube dan Facebook (FB).
Rohani berkata, perhubungan anak perempuannya, dinamakan sebagai F dengan teman lelakinya yang juga berusia belasan tahun memang diketahuinya, namun dia tidak menyangka mereka akan bertindak sejauh itu.
“Saya memang tahu mereka berkawan rapat, tapi tak sangka pula sampai merakam video berpeluk dan bercium dan dimuat naik pula ke Internet,” katanya.
Memurut Rohani, dia mendapat tahu mengenai rakaman video itu apabila diberitahu sendiri anaknya selepas ia tersebat di internet.
"Tapi anak saya tak tahu siapa yang sebarkan video itu di internet tapi dia syak ia dilakukan oleh kawan teman lelakinya," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Rakaman video aksi mesra F bersama teman lelakinya yang berpelukan dan bercium di pondok sebuah taman rekreasi mendapat perhatian pelayar internet yang memberi lebih 1,000 komen.
Sebahagian besar daripada mereka mengutuk perbuatan remaja terbabit dan menyalahkan ibu bapa mereka yang dituduh tidak pandai menjaga anak, namun ada juga yang memberi nasihat selain mencadangkan kedua-duanya dikahwinkan.
"Bila rakaman itu tersebar itu tersebar, suami amat marah dan kecewa, tetapi apa sangatlah yang kami boleh lakukan kerana perkara sudah berlaku.
"Inilah sikap budak-budak zaman sekarang, buat sesuatau tanpa fikir panjang, bila jadi macam ni ibu bapa juga lah yang susah dan tanggung malu.
"Sukar diceritakan perasaan malu saya apabila rakan, jiran dan saudara mara bertanya saya mengenai apa yang berlaku. Biarpun sukar, kami terpaksa harungi jua," kata Rohani.
Ditanya adakah dia akan mengahwinkan F dan teman lelakinya sebagaimana dicadangkan sesetengah pihak, Rohani berkata anaknya itu masih terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga.
"Sebagai ibu, pastinya saya mahu yang terbaik untuk anak saya. Namun, soal jodoh ini di tangan Tuhan dan kita tidak tahu bagaimana masa depannya nanti," katanya.
Rohani berkata, berikutan itu pergerakan anaknya kini dikawal lebih ketat dan diharap anaknya tidak terus dipandang serong.
"Mungkin saya akan pindahkan dia di sekolah lain. Biar apa pun berlaku, saya akan pastikan di perlu tamatkan persekolahannya, sekurang-kurangnya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan