Skuad Harimau Malaya terpaksa berpuas hati dengan hanya mengutip satu mata selepas terikat seri 1-1 dengan Bahrain pada perlawanan peringkat kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam ini.
Malaysia berada di tangga ketiga dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi empat perlawanan, manakala Bahrain terus mengungguli kumpulan D dengan tujuh mata, perbezaan satu mata di hadapan pencabar terdekat, Qatar yang mengumpul enam mata. Corak perlawanan pada awal babak pertama agak seimbang apabila kedua pasukan bertali arus melakukan serangan untuk mencari gol pembukaan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Usaha ketua pasukan negara Safiq Rahim untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-43 gagal apabila sepakan deras yang dilakukannya dari luar kotak penalti tersasar daripada gawang gol yang dikawal kemas oleh Sayed Mohamed Jaafar. Bahrain berjaya memecah kebuntuan pada penghujung tambahan separuh masa pertama menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang dilakukan oleh pemain pertahanannya, Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan oleh penyerang berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-71. Percubaan Norshahrul untuk menggandakan jaringan pada akhir babak perlawanan gagal apabila sepakan deras yang dilakukannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar daripada gawang.
Pada aksi berikutnya Harimau Malaya akan berkunjung ke National Stadium, Manama, Bahrain pada 15 Nov bagi perlawanan timbal balik perlawanan keempat peringkat kumpulan D, pusingan Kelayakan Piala Asia 2015.
0 ulasan:
Catat Ulasan