BANGI: Pilihan raya kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertukar tegang apabila ada calon mendakwa menerima ugutan selain rumah sewa diserang dengan bom petrol.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam, sembilan calon wanita pilihan raya kampus dikejutkan dengan bunyi letupan di depan rumah sewa mereka di Seksyen 3, dipercayai dibaling bom petrol.
Kesan terbakar
Ahli jentera gerakan pilihan raya kampus yang hanya mahu dikenali sebagai Aishah berkata, ketika kejadian dia berada di tingkat bawah rumah teres terbabit, terkejut dengan letupan itu selain mendapati dinding bersebelahan pintu depan ada kesan terbakar.
Nota ugutan di kereta
Aishah berkata, satu nota bertulis ‘tarik diri atau mati’ juga ditemui di depan kereta Perodua Kelisa milik calon berkenaan selepas pulang daripada membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi.
“Nota yang ditulis pada potongan kotak itu hanya disedari apabila saya dan beberapa rakan lain pulang dari balai polis.
“Pengawal keselamatan taman perumahan berkenaan memaklumkan kepada kami terdapat dua motosikal dinaiki tiga lelaki dalam kejadian mencurigakan keluar dari kawasan itu,” katanya.
Pelajar undi semalam
“Saya percaya ugutan itu ada kaitan dengan pilihan raya kampus yang sedang berjalan di UKM memandangkan hari ini (semalam) adalah tarikh pelajar mengundi,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.
Penuntut UKM mengundi sehingga jam 5 petang semalam, untuk memilih sembilan wakil kerusi umum dan 18 kerusi fakulti.
Pengiraan undi bermula jam 8 malam tadi untuk memilih pemenang daripada kalangan 55 calon bertanding.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sedang menyiasat motif kejadian.
0 ulasan:
Catat Ulasan