PETALING JAYA: Dibebani masalah kewangan menyebabkan sepasang suami isteri pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri sebelum tindakan itu menggorbankan anak perempuan mereka berusia lima tahun. Gambaran permasalahan itu didedahkan oleh individu yang mengenali keluarga terbabit.
Seorang rakan kepada keluarga itu berkata, dia tahu pasangan terbabit mempunyai masalah kewangan kerana bapa kanak-kanak perempuan itu pernah meminta pinjaman RM30,000 daripada seorang saudara mereka pada 9 September lalu, dua hari sebelum cubaan bunuh diri yang pertama.
"Dia memberitahu saudaranya bahawa dia ada sesuatu projek tetapi memerlukan wang untuk memulakan kerja itu. "Saudaranya itu sanggup membantu dengan membekalkan bahan-bahan dan mesin yang diperlukan untuk projek tersebut tetapi enggan memberikan wang tunai," katanya sambil menambah bapa kanak-kanak perempuan itu bekerja dengan sebuah syarikat milik saudaranya beberapa tahun lalu sebelum memulakan syarikat pembinaan sendiri.
Dia mendakwa bapa kanak-kanak perempuan itu dan saudaranya berselisih faham mengenai sejumlah wang yang hilang sebelum dia meninggalkan syarikat itu. "Malah saudaranya itu banyak membantu untuk membayar hutang apabila dia bekerja dengannya. Pangsapuri tempat mereka tinggal kepunyaan saudaranya itu," katanya. Sementara itu, guru yang bertugas di sebuah tadika tempat kanak-kanak itu dihantar berkata, ibu mangsa pernah bertanyakan kerja kosong di tadika tersebut beberapa bulan lalu.
"Namun kami tiada kerja kosong pada waktu itu," kata wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Wong. Pada Rabu, sepasang suami isteri yang cuba membunuh diri akhirnya menyebabkan salah seorang daripada dua anaknya meninggal. Pasangan itu ditahan pada Rabu. Mereka pernah cuba membunuh diri kali pertama pada 11 September dengan membakar arang di dalam bilik tidur utama sebelum mereka sekeluarga masuk tidur di rumah mereka di Sri Manja Square, off Jalan Klang Lama di sini.
Apabila cubaan itu tidak berjaya, mereka melakukannya sekali lagi pada keesokan harinya. Kali ini anak perempuan mereka meninggal dunia. Mereka menyimpan mayat itu di rumah mereka sehingga dijumpa pada pagi Rabu selepas seorang guru tadikanya memberitahu ibu bapa kepada rakan sekelasnya untuk memeriksa muridnya yang tidak hadir ke sekolah selama lima hari.
Kanak-kanak perempuan itu berusia lima tahun manakala abangnya, 7. Dalam perkembangan berasingan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata lelaki itu berusia dalam lingkungan 50-an dan isterinya, 40-an, akan direman enam hari sehingga 24 September. Beliau berkata pasangan itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira pukul 10 pagi Khamis untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
"Siasatan awal mendapati ibu bapa kanak-kanak malang itu berdepan masalah kewangan. Ia mungkin motif utama mereka merancang untuk membunuh diri," katanya. Arjunaidi berkata mayat kanak-kanak perempuan itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan polis masih menunggu keputusan hasil bedah siasat.
0 ulasan:
Catat Ulasan