CAT FARISH mengaku bahawa dia sebenarnya sudah bosan melihat anggota The Fabulous Cats (TFC) bersilih ganti. “Mahunya tak letih? Bila ada anggota yang keluar, orang sering bercakap tentang nasib anggota yang keluar itu tetapi tidak pula memikirkan masalah sebenar,” kata Cat Farish yang menubuhkan TFC pada Julai 2007. Sempat ‘menguburkan’ seketika grup kesayangannya itu, akhirnya
Cat Farish serta seorang lagi ‘ahli tetap’ TFC, Zizie kembali dengan klip video lagu balada, Sebulatnya. Kali ini TFC turut menampilkan dua ahli baharunya. “Lagu Sebulatnya itu dirakam lima tahun lalu. Saya pernah bercakap dengan Zizie untuk menguburkan sahaja TFC tetapi akhirnya kami muncul juga dengan dua famili baharu iaitu Afif dan Hairool,” terang Cat yang menganggap anggota tetap TFC hanyalah dia dan Zizie manakala anggota baharu merupakan famili buat mereka.
Klip video lagu berusia lima tahun itu dibuat khusus untuk menjadi lagu tema slot Samarinda drama Epilog Cinta Khirana yang bersiaran di TV3 setiap hari Selasa hingga Khamis pada pukul 10 malam. Penggambaran klip video Sebulatnya dijalankan di lokap Balai Polis Kelana Jaya dan di tempat letak kereta Zenith Corporate Park, Kelana Jaya. LOULpop Studio merupakan tenaga produksi untuk penggambaran klip video itu. Ia diarahkan oleh Khairul Hazwan.
Sutradara kelahiran Kedah itu merupakan jurugambar rasmi bekas angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar. Dia juga pengarah bagi klip video penyanyi Ainan Tasneem, Alif Satar, Spider dan Klangit. “Idea untuk membuat klip video di dalam lokap datang daripada Khairul. Dia mahukan sesuatu yang menyentuh dan ada kesinambungan dengan penceritaan Epilog Cinta Khirana,” terang Cat. Tambahnya: “Jujurnya saya memang tidak sukakan penjara. Tengok kucing dalam ‘penjara’ (sangkar) pun saya sedih, apa lagi manusia.
Siap kena buat lawak untuk tenangkan fikiran sebelum penggambaran bermula.” Bercerita tentang produk baharu TFC setelah sekian lama vakum dalam dunia hiburan, Cat menceritakan bahawa lagu Sebulatnya merupakan penerbitannya yang menarik. Menurutnya, keadaan itu berlaku ekoran lagu tersebut mengetengahkan genre R&B dan soul. Cat berkata, genre tersebut jarang terdapat dalam lagu-lagu di Malaysia. “TFC juga sedang memberi fokus kepada lagu untuk bulan Ramadan ini. Malaysia memang ada banyak stesen radio tetapi susah untuk mainkan lagu. Saya sebenarnya menjadi takut apabila mendengar lagu-lagu popular menerusi radio sekarang.
“Nampaknya, dunia kini menjadi semakin santai dan saya terfikir tentang nasib individu yang belajar di Berkeley (sekolah muzik di Amerika Syarikat) atau sekolah muzik yang serius,” keluh Cat. Cat mengaku bahawa laman perkongsian video YouTube merupakan platform yang jujur. “TFC juga akan keluar dengan lagu Pulang Dengan Rindu, kolaborasi TFC dengan grup Tiga Swaggers. “Selain itu, saya juga sibuk membina studio SEVENfourSEVEN di Seksyen 7, Bangi, Selangor.
“Studio tersebut merupakan tapak untuk Suara Generasiku yang merupakan penaja untuk album kami. Suara Generasiku membentuk komuniti yang akan membantu belia dalam pelbagai bidang. “Ia sebuah badan bukan kerajaan yang akan mendengar suara komuniti berkaitan pembangunan, pelajaran, sosial, seni dan sebagainya untuk diketengahkan kepada kerajaan,” jelas Cat.
Categories: PANAS
0 ulasan:
Catat Ulasan