KUCHING 30 Jun - Seorang lelaki 'berlubang' di kepala akibat dihempap dinding konkrit dapur rumahnya ketika mengambil wuduk di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Jamzi Busman, 37, berada dalam bilik air sebelum bahagian belakang rumah dua tingkat itu tiba-tiba roboh lalu menimpanya.
Akibat runtuhan itu, mangsa jatuh tertiarap di atas lantai dan dihempap oleh dinding konkrit seberat kira-kira 200 kilogram sehingga menyebabkan kepalanya luka sedalam lima sentimeter.
Menurut mangsa yang bekerja sebagai pemandu, dia tersepit di tempat kejadian kira-kira 30 minit sebelum mendapat bantuan daripada salah seorang anak saudara berusia 21 tahun.
"Pada masa itu, hanya Allah sahaja tahu kesakitan yang dialami apabila dihempap konkrit berat tersebut. "Saya terpaksa menahan badan daripada dihimpit terus ke lantai.
Mujur anak saudara mendengar jeritan dan mengeluarkan saya perlahan-lahan," katanya ketika dihubungi hari ini. Mengulas lanjut, Jazmi berkata, berikutan kejadian itu, dia dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.
Katanya, doktor terpaksa membuat 16 jahitan di kepalanya yang berlubang dan rawatan biasa di anggota badan yang turut mengalami kecederaan. "Saya tinggal di rumah ini sejak 15 tahun lalu dan ini merupakan kali pertama kejadian seperti ini berlaku.
"Ibu dan ayah saya membuat laporan di Balai Polis Satok dan menurut siasatan awal polis kejadian runtuhan ini berpunca daripada tanah mendap," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan