1 Julai 2013

Posted by jinson on 1.7.13 No comments



KOTA TINGGI 30 Jun - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran susur masuk ke Taman Daiman Jaya di sini hari ini. Nahas berlaku pukul 1 petang ketika kumpulan konvoi melibatkan 16 buah motosikal berkuasa tinggi dan lima kereta dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Terengganu. Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori tangki dari arah Mersing hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melintang di lebuh raya. Katanya, empat buah motosikal dari konvoi itu gagal mengelak lalu merempuh lori tangki berkenaan menyebabkan salah sebuah daripadanya terbakar dan sebuah lagi terputus dua. “Kemalangan ngeri itu berpunca daripada keadaan permukaan jalan yang licin akibat hujan, namun punca sebenar masih disiasat. “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita semasa ditemui di pekarangan bilik mayat hospital di sini. Mohd. Nor berkata, mangsa yang terbunuh ialah Abdul Rashid Mansor, 48, beralamat di Taman Ibai Indah, Ibai Golf Resort, Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan Mohamad Hisham Salleh, 36, dari Kampung Gemuroh, Marang. Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Dua mangsa yang cedera parah ialah Saufi Said, 48, dan Anisar Muhammad, 49, dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, manakala seorang lagi mangsa, Muhd. Zulkeri Embong, 45, hanya cedera ringan. Menurut Mohd. Nor, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori tangki berkenaan yang tidak mengalami kecederaan ditahan untuk siasatan lanjut. Sementara itu, seorang peserta konvoi, Shahir Zulfyri Muhd. Zulkeri, 24, yang juga anak kepada Muhd. Zulkeri dan Anisar berkata, rombongan konvoi itu bertolak dari Johor

Bahru pukul 10.30 pagi. “Saya tidak menunggang motosikal sebaliknya menaiki kereta, bapa saya menunggang motosikal Harley Davidson manakala ibu pula jadi pembonceng. “Kejadian berlaku begitu pantas. Saya bersyukur ibu dan bapa saya selamat walaupun mengalami kecederaan," katanya.
Categories: , , ,

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog