18 Jun 2013

Posted by jinson on 18.6.13 No comments
KLANG 18 Jun - Sekumpulan penjenayah dianggotai tiga lelaki bersenjatakan parang dan kapak menyamun dua buah stesen minyak di sini dalam tempoh kurang sejam awal pagi ini. Kejadian berlaku pukul 4 pagi apabila kumpulan itu yang menaiki sebuah kereta BMW berwarna kuning menyamun sebuah stesen minyak di Pekan Kapar sebelum menuju ke sebuah lagi stesen minyak di Rantau Panjang, Jalan Kapar kira-kira pukul 4.55 pagi.
 Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, dalam kejadian pertama di Pekan Kapar, salah seorang suspek keluar dan berpura-pura membeli kad tambah nilai dan tiba-tiba muncul seorang lagi suspek memecahkan pintu kaca premis berkenaan.
 Beliau berkata, suspek yang membawa parang meluru ke kaunter pembayaran dan meminta supaya pekerja stesen minyak terbabit menyerahkan wang tunai, rokok dan kad tambah nilai sebelum melarikan diri menaiki kereta dipandu seorang lagi suspek. “Suspek melarikan wang tunai berjumlah RM800 dan berpuluh kotak rokok serta kad tambah nilai yang dianggarkan bernilai RM1,000
. “Dua pekerja stesen minyak berkenaan juga mengalami kecederaan di kepala dan bahu akibat terkena parang yang dibawa suspek," katanya ketika dihubungi hari ini. Mohd. Shukor berkata, dengan menggunakan modus operandi yang sama, kumpulan terbabit menuju ke sebuah lagi stesen minyak di Rantau Panjang yang jaraknya hanya 11 kilometer dari stesen minyak pertama.
 Menurut beliau, di stesen itu suspek melarikan wang tunai berjumlah RM2,000, rokok dan kad tambah nilai yang belum dikenal pasti nilainya. "Polis telah melakukan pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan tidak menolak kumpulan itu menggunakan kereta curi kerana nombor pendaftaran digunakan berbeza.
 "Kita juga akan berusaha mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi daripada kedua-dua stesen minyak tersebut," katanya. Mohd. Shukor berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata.
 "Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Categories:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog