Nama kumpulan Kotak bukanlah baru di persada muzik tanah air. Sejak menerjah masuk menerusi album kedua mereka berjudul Energi (2010), percaturan kumpulan dari seberang yang memperjuangkan konsep rock moden ini nyata membuahkan hasil bila lagu seperti Masih Cinta dan Tinggalkan Saja menjadi siulan ramai. Malah dengan beberapa kali muncul menerusi showcase dan persembahan di acara berprestij di sini, kewujudan Kotak disambut baik para pencinta muzik tempatan. Namun begitu kugiran yang dianggotai tiga anak muda, Tantri (vokalis), Chua (bassist) dan Cella (gitaris) merasakan mereka belum lagi popular di Malaysia. "Kami belum rasa kami popular di sini. Kerana, kalau kami buat persembahan kami akan nyanyi satu lagu itu sepenuhnya kerana bila kami tahu, kalau kami hulurkan mikrofon pada penonton, tak ramai penonton yang tahu menyanyikan lagu kami. Kerana itu kami masih berkeja keras untuk mempromosikan muzik kami", kata vokalis berusia 24 tahun itu ketika ditemui pada majlis perlancaran album kompilasi Kotak Terbaik, bertempat di Hard Rock Cafe, semalam. Album kompilasi tersebut memuatkan sebanyak 17 buah lagu iaitu tiga lagu baru, Hijaukan Bumi, I Love You, dan Kecuali Kami. Serta dua trek bonus adalah Jetlag nyanyian bersama kumpulan punk rock Kanada iaitu Simple Plan dan Aku Yang Tersakiti nyanyian bersama Judika. Album edaran Warner Music (M) Sdn Bhd ini berharga RM 27.90.
Tanti, Chua Sorok Kisah Cinta
Dari bicara tentang album, Kotak sempat diajak berbual tentang cerita peribadi mereka. Memandangkan Tantri dan Chua banyak dikaitkan dengan kisah mereka bersama teman lelaki masing-masing, pantas soalan yang ditujukan buat dua gadis Kotak ini, bila mereka mahu menamatkan zaman bujang. Bagaimanapun Tantri dan Chua yang cukup riuh sejak awal perbualan berubah menjadi perahsia dan sedaya upaya mengelak dari berkongsi kisah cinta mereka. "InsyaAllah, doa-doakan. Saya dengan dia sudah empat tahun. Tapi sekarang belum ada apa-apa perancangan lagi.", kata Tantri yang menjalin hubungan dengan seorang pemuzik yang dikenali sebagai Naff. Sementara Chua juga dengan gaya jawapan yang lebih kurang sama, "Belum, saya belum bertunang. Belum tahu bila mahu menikah. Mudah-mudahan ada jodoh, amin...", tuturnya yang enggan bercerita lanjut.
0 ulasan:
Catat Ulasan