PORT DICKSON: Polis berjaya menahan 16 wanita warga asing yang menyalah guna pas lawatan sosial mereka selain tidak memiliki permit kerja.
Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang didapati cuba melindungi wanita warga asing berkenaan. Ops Noda dijalankan bermula 9 malam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian diketuai oleh Ketua Polis Daerah, Superitendan Abd Wahab Harun. Turut disertai dua pegawai dan 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Abd Wahab berkata, kesemua tahanan berusia lingkungan 20-an hingga 50 tahun. “Ops Noda dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di pusat refleksologi Dataran Segar, PD Gateway dan Taman Segaya PD. “Kesemua tahanan adalah warganegara Thailand dan mereka disiasat di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen dan 39B Peraturan-peraturan Imigresen,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa operasi.
Abd Wahab turut memberi amaran kepada semua pengusaha pusat refleksologi dan pusat urut agar mematuhi undang undang dan syarat yang telah ditetapkan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang. “Pihak kami akan menjalankan operasi membanteras kesalahan berkenaan dari semasa ke semasa. "Tindakan tegas akan dikenakan apabila mendapati pengusaha pusat urut berkenaan melakukan kesalahan berulang," katanya.
Abd Wahab berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengenakan tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersubahat dengan pengusaha pusat urut dan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang. Kesemua tahanan di bawa ke IPD sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.
0 ulasan:
Catat Ulasan