Pelakon Ika Nabila menganggap tindakannya membalas komen pengikut laman sosial Instagram miliknya dengan cara yang kasar bukanlah sesuatu perkara yang boleh dianggap biadab.
Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, 24, berkata, dia memuat naik gambar seekor anjing yang ditujukan kepada pengikut laman sosial itu sebagai satu pengajaran agar mereka tidak mengulangi perbuatan memberi komen-komen negatif. "Saya rasa tindakan itu tidak biadab kerana mereka yang memulakan dulu dengan menyuruh saya melakukan perbuatan yang tidak senonoh.
"Mereka yang terlalu biadab bagi saya dan perbuatan itu memang seharusnya dibalas dengan tindakan kasar (memuat naik gambar anjing)," katanya. Ika ditemui pada majlis peragaan busana ceongsam The Weld Oriental Rhapsody melibatkan pereka fesyen terkenal seperti Bill Keith, Keith See, Shanghai Sin, Ms Chinese Cosmos dan penaja barang kemas Raflessia di The Weld di Kuala Lumpur.
Dia diminta mengulas tentang perbalahannya dengan pengikut Instagram miliknya yang meminta beliau memuat naik gambar bogel. Perbalahan tercetus selepas pelakon tersebut memuat naik gambar percutiannya di Pulau Krabi, Thailand bulan lalu. Namun begitu Ika membalas dengan memuat naik gambar anjing yang mana mencetuskan kemarahan segelintir pengikut lain.
Tambah Ika, dia kecewa dengan tindakan segelintir pengikutnya di laman sosial tersebut yang hanya ingin membuat provokasi. Jelasnya, sebagai selebriti dia hanya ingin berkongsi gambar-gambar aktiviti bersama peminat dan pengikut sahaja. "Pada saya, apa yang saya muat turun di laman sosial tidak melampau, saya selalu fikir dahulu sebelum memuat turun gambar di mana-mana laman sosial.
"Saya tidak pernah memuat turun gambar seksi atau berbikini serta yang boleh menimbulkan kontroversi," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan