Penyanyi, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 43, akui sehingga kini masih belum bertemu dengan suri hidupnya. Malah Anuar Zain menganggap mungkin jodohnya masih belum tiba. "Belum sampai jodoh lagi.
Saya tidak boleh bertanya kepada Dia (Allah) bila jodoh saya akan tiba. Apa-pun saya serahkan kepadaNya. "Lagipun buat masa sekarang saya masih belum bertemu dengan mana-mana kenalan wanita. Saya tidak bimbang kerana itu semua urusan daripadaNya," katanya kepada Admin selepas sidang media Malam Jalinan Mesra 2013 Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di Restoran Rebung Bangsar, semalam.
Pelatun lagu, Sedetik Lebih itu akui tidak bimbang jika sehingga hari tuanya nanti dia masih belum bertemu jodoh.Malah, dia sudah bersedia untuk membawa dirinya sendiri ke pusat penjagaan orang tua bila tidak berdaya lagi. "Saya sudah bersedia jika ditakdirkan saya masih belum berkahwin dan menimang cahaya mata di usia yang lanjut.
Malah saya sudah merancang untuk tinggal di pusat penjagaan rumah orang tua kerana di situ kita boleh dijaga rapi oleh orang yang sepatutnya. "Pada saya tidak salah jika orang tua dibawa ke rumah penjagaan rumah orang-orang tua kerana banyak pusat-pusat penjagaan orang tua yang bagus dan selesa serta sesuai untuk usia begitu.
"Lagipun saya mahu ubah persepsi masyarakat kita yang menganggap orang tua di rumah penjagaan itu dilihat seperti golongan yang tidak disayangi. Pada saya, jika ibu bapa itu punya ramai orang anak pun dia sukar untuk meminta semua anaknya menjaga dirinya. "Saya rasa untuk zaman sekarang ini tidak salah menghantar ibu bapa untuk dijaga oleh pusat penjagaan orang tua kecuali terdapat ibu bapa yang berkeras tidak mahu dihantar ke rumah penjagaan kerana nak-anak juga tidak boleh memaksa ibu bapa mereka," ulasnya
. Bercerita mengenai kehidupannya sebagai seorang yang bujang di usia 40-an, Anuar Zain akui hidupnya bahagia bersama keluarganya yang kini sudah membesar dengan jumlah bilangan anak buah. "Alhamdulilah, saya masih punya ibu bapa yang sihat dan perihatin terhadap anaknya. Malah saya juga bertuah kerana punya akak-akak yang mengambil berat tentang adiknya ini sehingga hampir setiap hari akan bertanya khabar dan sebagainya.
"Malah saya seronok melayan kerenah anak buah saya yang sudah semakin ramai iaitu 12 orang. Mereka manja dan agak rapat dengan saya. Penat juga melayan kerenah mereka tetapi saya suka kerana mereka saya anggap seperti anak-anak saya sendiri,"luahnya lagi.
Mengenai perkembangan terbaru kerjayanya, Anuar bakal mengadakan persembahan di Malam Jalinan Mesra 2013 Jabatan Perancangan Bandar & Desa Semenanjung Malaysia di banggunan Telekom Malaysia Convention Centre pada 19 Oktober ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan