SHAH ALAM: Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Mohamed Nazri Aziz menegaskan pelantikan anaknya Nedim sebagai pegawai khas di kementerian yang diterajuinya adalah bagi memudahkan generasi pengundi baru berhubung dengannya.
Sambil menafikan pelantikan itu membuktikan wujudnya unsur kronismime, Nazri berkata bukan menjadi masalah anaknya ditempatkan di situ memandangkan Nedim sudah menjadi pegawai khasnya sejak 2008 lagi.
"Apa yang menjadi masalahnya? Dia Nedim pun sudah lama berkhidmat dengan saya semenjak 2008. "Lagi pun saya kaya, saya rasa bukan menjadi masalah pun jika anak saya ditempatkan di situ sebagai pegawai khas saya.
"Dia juga ditugaskan untuk melaksana banyak program yang akan melibatkan orang ramai, bukan dia duduk sahaja," katanya kepada wartawan selepas menghadiri jamuan Aidilfitri di I-City di sini, hari ini.
Malah Nazri berkata beliau memerlukan anaknya itu bagi menjadi orang tengah, lebih-lebih lagi gaji anaknya itu bukan dibayar oleh kerajaan tetapi oleh dirinya sendiri.
"Saya perlukan Nedim untuk jadi orang tengah saya bagi menghubungkan dengan generasi pengundi baru. "Tambahan dia pula orang muda, jadi saya rasa orang senang berhubung dengan dia dan sesiapa sahaja yang hendak hubungi dia juga mudah," katanya.
Kontroversi pelantikan Nedim menjadi buah mulut di laman sesawang Facebook dan Twitter yang menyerang menteri itu kewajaran meletak anaknya di kementerian yang diterajuinya sebagai pegawai khas. Ia bukan sahaja dipertikai oleh penyokong Umno sebaliknya turut dipersoalkan oleh pemimpin pembangkang.
Rentetan serangan bertubi-tubi itu, akhirnya Nazri menjelaskan anaknya Nedim itu sudah lama berkhidmat dengannya sebagai pegawai khas sejak 2008 dan isu berkenaan tidak harus dipolitikkan.
Sebagai rekod, Nazri diperuntukkan enam pegawai yang dibayar oleh kerajaan sama seperti menteri Kabinet yang lain.
Mereka adalah setiausaha sulit kanan Datuk Azlinda Mohd Rashad, setiauasaha sulit Dr Jurij Jalaludin, setiausaha politik Datuk Mohamad Ismail Osman, setiausaha akhbar Ahamad Fazli Ahamad Nordin, pegawai tugas khas di Parlimen Suzana Akmam Selamat Amir dan pengawal keselamatannya Shahdan.
0 ulasan:
Catat Ulasan