Seorang gadis dari Kanada cedera parah selepas diserang oleh singa ketika dia cuba mencium binatang berkenaan di Pusat Pemulihan Binatang Liar Moholoholo, di Afrika Selatan. Sebaik sahaja Lauren Fagen, 18, menunduk badan untuk mencium bulu binatang itu, dia telah ditarik ke dalam kandang oleh singa terbabit. Singa tersebut kemudiannya menggigit kaki gadis dari Montreal itu, sebelum seekor lagi singa turut menyerang Fagen. Namun Fagen bernasib baik kerana dia diselamatkan oleh sukarelawan yang lain selepas mereka mendengar jeritannya. Salah seorang sukarelawan dari Britain berjaya memukul singa tersebut dengan penyapu. Fagen telah mengembara ke wilayah Limpopo di Afrika Selatan untuk bekerja secara sukarela di pusat berkenaan yang dibuka pada 1991 dan menempatkan binatang liar. Tugas yang diberikan kepada Fagen adalah membersihkan kandang manakala mereka yang terlatih sahaja dibenarkan memberi makan kepada singa tersebut. “Saya boleh maut atau kaki terputus, namun saya bernasib baik kerana masih hidup dan selamat,’’ katanya. Menurut Fagen, sebelum serangan tersebut, singa itu sangat jinak. Namun gadis itu masih berpendapat bahawa binatang itu tidak berniat mencederakannya.
Categories: AMBOI
0 ulasan:
Catat Ulasan