Melihat kepada atur langkah pelakon remaja Ezlisa Loy atau nama penuhnya, Nor Ezlisa Loy Ahmad Sabri,17, dalam dunia lakonan, ianya seakan mahu menjejaki kejayaan kakaknya, Elfira Loy yang kini sudah menjadi antara pelakon dan selebriti pujaan pada masa kini.
Namun sangkaan ramai itu nyata meleset kerana anak ketiga daripada lima orang adik beradik itu mempunyai impian yang berbeza berbanding karier kakaknya itu. Malah,cita-cita Ezlisa itu tiada langsung perkaitannya dengan mana-mana cabang dunia seni mahupun hiburan.
Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini, Ezlisa turut memberitahu portal Murai bahawa penglibatannya dalam dunia lakonan adalah untuk mengisi masa lapang serta ingin merasa duit daripada hasil titik peluh sendiri.
"Sebenarnya tujuan saya menceburi bidang lakonan ini bukanlah ingin mengikut jejak langkah kakak(Elfira) menjadi pelakon sepenuh masa. Ia sekadar aktiviti yang saya lakukan untuk memenuhi masa terluang serta mencari wang saku sendiri.
"Lagipun ia tidak memerlukan tenaga yang terlalu banyak dan pulangan juga menarik. Tetapi saya bakal berhenti seketika bagi memberi ruang untuk saya mengulangkaji pelajaran kerana SPM bakal tiba November dan ujian percubaan pula pada September ini.
"Telemovie untuk hari raya ini adalah penglibatan saya yang terakhir sebelum berehat dan fokus kepada pelajaran demi SPM tidak lama lagi. Saya akan tidak lagi ponteng sekolah,"cerita Ezlisa jujur tentang dirinya yang beberapa kali terpaksa ponteng sekolah kerana pertindihan jadual lakonan dan jadual sekolahnya sebelum ini.
Mengenai cita-cita Esliza, penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussien Onn 2 itu memilih bidang perubatan atau pergigian sebagai kerjaya jika keputusan SPMnya cemerlang dan melayakkannya memohon. Dia juga berkongsi mengenai niatnya yang ingin mempelajari bidang kulinari diwaktu cuti menunggu keputusan SPM.
"Di sekolah saya memilih aliran sains tulen dan rugi jika saya tak memanfaatkan subjek Biologi yang saya pelajari. Ianya susah tetapi saya memang meminati subjek tersebut. Jika keputusan SPM cemerlang, saya memang bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan atau pergigian.
"Selain daripada itu saya mahu mempelajari bidang masakan yang juga antara minat saya sekarang. Saya ingin cuba belajar membuat pencuci mulut dan masakan Itali yang menjadi antara makanan kegemaran.
"Saya memang tidak boleh duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Sebab itu saya suka mencuba pelbagai perkara. Kiranya semua pun boleh, sapu bersih,"katanya kepada murai.com.my lagi sambil berseloroh kerana menyedari bahawa dia mempunyai banyak minat serta aktiviti yang ingin dilakukannya.
Ezlisa telah ditemui ketika penggambaran telemovie sempena Aidilfitri, Tiba Masanya yang turut dibintangi Ayu Raudhah juga Azhan Rani serta ramai lagi yang diarahkan Khairul Amri Khalid. Bakal ditayangkan di stesen televisyen Al-Hijrah pada 2 Syawal, telemovie terbitan Suhan Movies ini telah menjalani penggambaran sekitar Alam Damai, Cheras, Selangor.
Categories: Biar Betul
0 ulasan:
Catat Ulasan