KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2013: Biarpun dilemparkan dengan kata-kata yang negatif apabila mengadakan majlis pertunangannya bersama pemain bass kumpulan CRK, Eddie Ghazali atau Eddie, 45, pada usia yang menjangkau setengah abad, namun produser penuh kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman,54, tetap tidak menghiraukan kecaman tersebut.
Sebaliknya, dia mempunyai alasan yang tersendiri untuk mengadakan majlis pertunangan yang merupakan kali kedua buat dirinya itu.
"Saya tahu, ada orang mengata saya, dah tua-tua pun masih miang nak bertunang. Bagi saya, tidak ada salahnya untuk saya bertunang pada usia begini memandangkan bertunang juga merupakan satu ibadah kerana ia dapat menyatukan silaturrahim. Sebab itu juga saya ambik berkat bertunang di bulan puasa.
"Bukan itu saja, proses bertunang juga membolehkan kita mengenali lebih rapat lagi pasangan kita dan dari situ ia dapat menyerlahkan lagi perangai masing-masing. Lagipun, adat tidak mengenal usia. Malah ini semua kehendak anak-anak saya yang mahu Eddie datang mengikut adat meminang jika dia benar-benar mahu mengahwini saya," katanya kepada portal Murai.
Raja Azmi atau mesra disapa Kak Mi ditemui selepas usai majlis pertunangannya di kediaman miliknya yang terletak di Ukay Perdana, Hulu Kelang, petang semalam. Majlis tersebut juga telah berlangsung dengan jaya dan meriahnya apabila ianya dihadiri lebih 40 orang media online, cetak dan elektronik serta sanak-saudara.
Menurut Raja Azmi lagi, dia sangat gembira kerana tak menyangka berpeluang merasai untuk bertunang kali kedua.
"Saya gembira sebab dapat mersai pertunangan kali kedua. Ini anugerah dari Allah, tak semua orang dapat rasa kali kedua seperti saya. Cuma beza kali pertama saya berasa lebih gementar daripada yang kedua kerana bila lalui kali kedua saya dah tau apa poreses yang akan berlaku. Malah pertunanangan kali kedua lebih meyakinkan kerana dah tau apa yang akan berlaku. Jadi kali ini saya mahu lebih kelihatan cantik dan ceria sahaja," luahnya lagi.
Bercerita mengenai ciri-ciri istimewa Eddie yang memikat hatinya sejak mula berkenalan dan bercinta pada 15 Februari lalu, Kak Mi memberitahu pemuzik itu punya sikap penyabar yang membuatkan dia yakin jejaka itu dapat menjaganya hingga akhir hayat.
"Sebenarnya saya cepat tak sabar, tapi Alhamdulilah Eddie seorang yang sangat penyabar. Oleh itu saya yakin dia seorang yang sesuai dengan saya dan boleh menjaga saya. InsyaAllah, jika kami berkahwin saya harap kami dapat kekal bahagia hingga ke akhir hayat," ceritanya.
Majlis pertunangan mereka diwakili oleh anak masing-masing yang mana pihak Raja Azmi menampilkan anak sulung iaitu Puteri Suraya, 28, sementara dari pihak Eddie turut diwakili oleh putera sulungnya, Mohamad Daniel, 20.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyatukan ibu bapa mereka pada 15 September 2013, selain pihak perempuan hanya meminta senaskah al-Quran sebagai hantaran perkahwinan.
Categories: AMBOI
0 ulasan:
Catat Ulasan