Hasrat adik pemain badminton beregu negara, Chan Peng Soon untuk mengambil teman wanitanya pulang dari tempat kerja terbantut apabila dia cedera parah selepas ditikam seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Lebuh Union, George Town kelmarin. Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, mangsa, Chan Peng Keat, 21, sebelum itu dikatakan bertengkar dengan seorang lelaki ketika hendak mengambil teman wanitanya di kelab berkenaan sehingga berlaku pergaduhan dan mengakibatkan pemuda tersebut ditikam. Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam tandas berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan. Peng Soon ketika ditemui berkata, keadaan adik bongsunya tersebut masih lemah dan baru sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital semalam. “Saya sedih dengan kejadian yang menimpa adik saya kerana berlaku dua hari sebelum kami sekeluarga mahu menyambut Tahun Baru Cina,” katanya hari ini. Beliau berkata, dia tidak pasti sama ada adiknya itu mengenali suspek memandangkan dia belum berkesempatan bercakap dengan mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan setakat ini. “Kita menjalankan siasatan terhadap motif serangan termasuk mengesan suspek. Kita juga menunggu keterangan daripada mangsa kerana masih lemah dan dirawat,” katanya.
Categories: Berita
0 ulasan:
Catat Ulasan