ALOR SETAR 24 Jun - Seorang warga emas maut dalam satu kejadian samun dipercayai dilakukan oleh pembantu rumahnya sendiri di Taman Serindit di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, berada di rumah berkenaan bersama tiga ahli keluarga iaitu suaminya yang lumpuh, Ismail Abbas, 80-an, dan dua cucu, Nor Izzati Nasaruddin, 22, serta cucu kurang upaya, Yusrah Nasaruddin, 16.
Pembantu rumah wanita warga Indonesia yang menjadi suspek utama kejadian berkenaan pula kembali bekerja di rumah tersebut sejak semalam selepas pulang bercuti ke negaranya pada Disember tahun lalu. Suspek sebelum ini dikatakan pernah bekerja selama setahun setengah bersama keluarga berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di bilik utama rumah berkenaan dengan kesan tikaman objek tajam di bahagian rusuk kirinya. Katanya, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam menemui sebilah gunting di dalam rumah tersebut dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
"Turut ditemui adalah wang tunai kira-kira RM4,000 dan barang kemas dalam beg pembantu rumah itu di dalam biliknya. Suspek dipercayai telah bersiap sedia untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita hari ini. Menurut Adzaman, sebelum menyamun, suspek dipercayai mengikat cucu Che Siah berusia 22 tahun pada sebuah katil di bilik belakang dan membawa mangsa ke bilik utama.
Bagaimanapun, katanya, cucu mangsa dapat melepaskan diri tanpa disedari suspek sebelum menghubungi bapanya yang dikatakan berada di luar negeri ini kerana menghadiri kursus. "Tidak lama kemudian, orang ramai memasuki rumah berkenaan dan pembantu rumah itu cuba berhelah dengan mengatakan penghuni disamun empat lelaki.
Namun siasatan lanjut polis mempercayai yang melakukan samun itu adalah pembantu rumah itu sendiri," katanya. Tambah beliau, suspek direman selama seminggu dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta 302 Kanun Keseksaan. "Penduduk turut memberi kerjasama baik dan kes ini dianggap selesai berikutan penangkapan itu," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan