25 Jun 2013

Posted by jinson on 25.6.13 No comments



KUALA LUMPUR 24 Jun - 'Penat-lelah' sekumpulan perompak yang memecah dan menebuk dinding sebuah bank di Jalan Perubatan 2, Pandan Indah di sini tidak berbaloi setelah mereka tersalah sasaran kerana melarikan sebuah peti besi yang hanya mengandungi sepucuk pistol automatik, awal pagi ini. Kejadian tersebut disedari seorang anggota polis bantuan ketika hendak memeriksa premis itu pukul 8 pagi ini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kumpulan suspek itu menceroboh masuk ke dalam bank tersebut setelah memecah dan menebuk dinding konkrit di kedai salon bersebelahan. "Suspek sebelum itu masuk ke kedai tersebut dengan mengumpil tingkap bilik air lalu memecah dan menebuk dinding yang terus masuk ke bilik kebal bank berkenaan. "Di bilik kebal itu tersimpan dokumen bank dan juga beberapa peti besi berlainan saiz. Peti besi yang mengandungi wang, bersaiz besar menyebabkan mereka mengambil keputusan melarikan peti besi lebih kecil berukuran 0.6 x 0.6 meter yang berisi sepucuk pistol," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan Jabatan Forensik mendapati suspek menebuk lubang di dinding konkrit berukuran badan manusia yang kurus. "Suspek juga dipercayai cuba untuk mengumpil sebuah lagi bilik kebal menyimpan wang tunai berdasarkan kesan pecah, tetapi gagal," ujarnya lagi. Jelas Amiruddin, sebelum melarikan diri, suspek mengambil dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak identitinya diketahui. "Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan. Polis akan meneliti rakaman CCTV beberapa kedai lain yang berhampiran terutamanya di bahagian belakang," katanya. Sehubungan itu beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan polis menjejaki suspek terlibat.
Categories: ,

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

Arkib Blog